Kursus Pengurusan Majlis, Protokol, Etiket Dan Imej Profesional Warga KESEDAR 2025
Kursus Pengurusan Majlis, Protokol, Etiket dan Imej Profesional anjuran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah dilaksanakan dengan jayanya selama tiga hari bertempat di Dewan Dato Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR.
Kursus ini melibatkan penyertaan seramai 50 warga kerja KESEDAR daripada pelbagai peringkat jawatan.
Majlis perasmian kursus ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan etika, disiplin dan penampilan dalam membentuk imej positif penjawat awam khususnya dalam konteks perkhidmatan di KESEDAR.
Beliau juga menyatakan bahawa kursus sebegini amat bertepatan dalam memastikan warga KESEDAR tampil lebih yakin, berkarisma dan profesional semasa mengendalikan majlis rasmi mahupun tidak rasmi.
Kursus ini dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CuteCarry Sdn. Bhd., Encik Hafiz Mustapha, yang terkenal dengan kepakaran dalam bidang protokol, etiket sosial dan penampilan profesional.
Peserta didedahkan dengan pelbagai modul menarik seperti teori asas protokol, tatacara pengurusan majlis rasmi, etiket sosial dalam dunia korporat, teknik menjadi pengacara majlis yang berkesan, serta panduan lengkap pengurusan pelbagai jenis majlis berdasarkan amalan protokol.
Secara keseluruhan, penganjuran kursus ini bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan kemahiran warga kerja KESEDAR dalam pengurusan majlis, malah membantu memperkukuh imej profesional penjawat awam di mata masyarakat dan pihak berkepentingan.
Diharapkan segala ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam tugas harian dan seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan organisasi.