Program Bina Insan Siri 1 2025 SPKR

Seramai 100 peserta belia dan beliawanis di wilayah KESEDAR meliputi daerah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah menyertai Program Bina Insan Siri 1 tahun 2025 di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).

Program berkenaan telah berlangsung dengan jayanya pada 25 Jun 2025 bertempat di Level 11, Continental Hotel, Kuala Lumpur.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pembangunan sahsiah dan pembentukan jati diri belia sebagai tunjang kesejahteraan masyarakat.

Sepanjang tiga hari pelaksanaan, peserta mengikuti lawatan ilmiah ke institusi pengajian tinggi, muzium dan pusat interaktif seperti Petrosains sebagai medium pembelajaran secara tidak formal.

Antara objektif utama program ini ialah untuk membantu peserta mengenali potensi diri, belajar dari kegagalan serta membuka perspektif yang lebih luas dan positif terhadap kehidupan dan kerjaya.

Peserta turut berpeluang berinteraksi dengan pakar dalam pelbagai bidang, sekali gus membakar semangat mereka untuk memperkayakan ilmu serta memotivasikan diri ke arah kecemerlangan.