Program Watikah Pelantikan Dan Perasmian Program Kepimpinan Rancangan “Tautan Mahabbah Eratkan Ukhwah” JKKR KESEDAR Tahun 2025/2026

Seramai 144 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) KESEDAR telah mengikuti Program Watikah Pelantikan dan Perasmian Program Kepimpinan Rancangan “Tautan Mahabbah Eratkan Ukhwah” pada 7 Julai lalu.

Program yang diadakan di The Pearl Kuala Lumpur Hotel melibatkan 16 ahli JKKR di setiap sembilan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) di Gua Musang.

Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan antara ahli JKKR serta memperkukuh semangat kepimpinan akar umbi di bawah naungan KESEDAR.

Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh berkata, program ini bukan sekadar menjadi medan untuk mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim sesama ahli JKKR, tetapi juga memupuk semangat kerja berpasukan serta saling menyokong dalam usaha memajukan komuniti di peringkat rancangan.

Katanya, KESEDAR turut menekankan keperluan melahirkan pemimpin akar umbi yang berkualiti, amanah dan berdedikasi dalam menyampaikan agenda pembangunan kepada masyarakat.

“KESEDAR mengiktiraf peranan penting JKKR sebagai mata dan telinga agensi di setiap kawasan rancangan.

“JKKR berperanan sebagai penghubung antara agensi dan komuniti bagi menyampaikan keperluan setempat, menyuarakan suara rakyat dan menyumbang kepada pelan pembangunan yang dirancang.

“Program ini juga turut membuka ruang perbincangan yang membina serta memperkukuh kemahiran komunikasi dan kepimpinan dalam kalangan peserta,” katanya.

Program ini dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KESEDAR yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, YB Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Turut hadir, Pengerusi KESEDAR Perkilangan Sdn Bhd (KPSB) yang juga ADUN Galas, YB Mohd Syahbuddin Hashim, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh dan Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf.