Lawatan Kerja Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Ke Tapak Pertanian Dan Taklimat Garis Panduan Pengurusan Tanah Pertanian Milik Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA)

Bandar Penawar, Johor – 27 Oktober 2025 (Isnin)

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) bagi menghadiri Taklimat Garis Panduan Pengurusan Tanah Pertanian Milik KEJORA serta tinjauan ke beberapa tapak projek pertanian dan akuakultur di kawasan pentadbiran KEJORA.

Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara agensi wilayah serta berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan tanah pertanian dan projek pembangunan agro.

KESEDAR diwakili oleh sembilan (9) orang pegawai yang diketuai oleh En. Mohd Fadhly bin Ab Manaf, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan). Turut hadir En. Kamal Badrul Hisyam bin Mohamed (Pengurus Bahagian Perancangan Strategik) dan En. Mohd Ramadhan bin Sulaiman (Pengurus Bahagian Ekonomi dan Pelaburan).

Sementara itu, pihak KEJORA diwakili oleh En. Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan); Pn. Suraya Hani binti Sharan, Pengurus Perancangan Strategik; serta Pn. Zuraidi binti Muslim, Pengurus Pertanian dan Industri Asas Tani.

Program dimulakan dengan sesi Taklimat Garis Panduan Pengurusan Tanah Pertanian Milik KEJORA bertempat di Ibu Pejabat KEJORA, Bandar Penawar. Taklimat memberi tumpuan kepada tatacara pengurusan tanah pertanian, penyewaan kawasan, serta pelaksanaan projek pertanian secara mampan. Selepas sesi taklimat, rombongan KESEDAR telah dibawa melawat ke beberapa lokasi projek di bawah seliaan KEJORA.

Lawatan ini memberikan peluang kepada pihak KESEDAR untuk meneliti secara langsung model pelaksanaan projek pertanian dan akuakultur yang berjaya di bawah KEJORA, di samping memperkukuh potensi kerjasama dalam bidang pembangunan tanah dan ekonomi luar bandar.