Kursus Capcut & Canva, Tingkat Kemahiran Kreativiti Penjawat

Kursus ICT Capcut Video Editing & Canva Grafik Editing telah diadakan dengan jayanya pada 23 dan 24 Jun 2025 bertempat di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR.

Program ini dirangka khusus untuk meningkatkan kemahiran penyuntingan video dan reka bentuk grafik dalam kalangan penjawat awam.

Seramai 29 peserta dari pelbagai unit dan bahagian telah menyertai kursus ini.

Sepanjang dua hari berlangsung, peserta didedahkan kepada asas penggunaan aplikasi Capcut bagi penyuntingan video kreatif serta Canva untuk menghasilkan bahan grafik seperti poster, risalah dan kandungan di media sosial.

Latihan secara praktikal turut diberikan agar peserta lebih mudah memahami dan mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam tugasan seharian.

Kehadiran tenaga pengajar berpengalaman iaitu Pengarah Urusan IQP Solution, Puan Noorul Shafini Annuar, telah membantu melancarkan sesi pembelajaran dengan penerangan yang mudah difahami.

Peserta juga diberi ruang untuk menghasilkan projek akhir menggunakan kedua-dua aplikasi sebagai penilaian tahap pemahaman dan kreativiti mereka.