Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan kepada Usahawan Bimbingan KESEDAR Tahun 2025 sebagai usaha berterusan memperkasa sektor keusahawanan dan meningkatkan pendapatan usahawan luar bandar.
Majlis ini melibatkan pelaksanaan tiga (3) program utama keusahawanan di bawah KESEDAR, iaitu Program Industri Kotej Bersepadu (KOTEJ), Program Kelestarian Keusahawanan dan Program Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).
Di bawah Program KOTEJ, seramai 6 orang usahawan telah menerima Bantuan Peralatan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM59,980.00 bagi membantu meningkatkan kecekapan pengeluaran dan kualiti produk industri KOTEJ.
Sementara itu, Program Kelestarian Keusahawanan telah memberi manfaat kepada 24 orang usahawan, merangkumi 6 orang penerima Bantuan Peralatan (In-Kind) berjumlah RM115,050.00 serta 18 orang penerima Bantuan Pelabelan dan Penjenamaan dengan peruntukan sebanyak RM181,980.00. Bantuan ini bertujuan memperkukuh daya saing produk tempatan agar lebih menepati keperluan pasaran semasa.
Bagi Program Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) pula, seramai 33 orang usahawan telah menerima Bantuan Peralatan (In-Kind) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM187,177.77, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi komuniti luar bandar secara mampan.
Dalam ucapannya, Pengerusi KESEDAR, YBhg. Datuk Haji Zawawi bin Haji Othman menegaskan bahawa penyaluran bantuan ini bukan sekadar pemberian peralatan, malah merupakan satu pelaburan jangka panjang bagi melahirkan usahawan yang berdaya saing, berilmu dan mampu berdikari.
YBhg. Datuk turut menyeru para usahawan agar memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diterima dengan mengamalkan pengurusan perniagaan yang sistematik, inovatif serta berteraskan kualiti agar produk tempatan mampu menembusi pasaran yang lebih luas, termasuk di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sementara itu, Yang Berhormat Mohd Azmawi Fikri bin Abdul Ghani ADUN Nenggiri merangkap Ahli Lembaga Pengarah KESEDAR dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada KKDW dan KESEDAR atas komitmen berterusan dalam membantu usahawan tempatan dan menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah strategik dalam merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan berbentuk peralatan dan penjenamaan adalah elemen penting bagi memastikan usahawan dapat meningkatkan keupayaan pengeluaran serta nilai tambah produk agar lebih kompetitif di pasaran.
Manakala Yang Berhormat Dato’ Paduka Mohd Syahbuddin bin Hashim ADUN Galas pula menekankan kepentingan kerjasama bersepadu antara agensi pelaksana dan pemimpin setempat dalam memastikan setiap bantuan yang disalurkan memberi impak yang maksimum kepada penerima.
Menurut YB Dato’ , pembangunan usahawan perlu dilaksanakan secara berterusan dan holistik merangkumi aspek latihan, pemantauan serta sokongan pasaran bagi memastikan kelangsungan dan kejayaan perniagaan dalam jangka panjang.
KESEDAR komited untuk terus menyokong pembangunan keusahawanan melalui pelbagai inisiatif dan program strategik selaras dengan aspirasi meningkatkan kesejahteraan ekonomi masyarakat setempat.
Turut hadir Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Encik Mohd Fadhly Ab Manaf, Pengurus Bahagian,Wilayah dan Ketua Unit KESEDAR
