Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan KESEDAR bagi bulan November 2025 bertempat di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR pada 9 November 2025.
Bermula dengan sesi pendaftaran dan ketibaan warga kerja KESEDAR diikuti dengan ceramah bertajuk “Etika, Integriti dan Semangat Kerja: Resipi Kecemerlangan Organisasi” oleh Puan Sharifah Mohd Nor, Ketua Pengarah di Yayasan Institut Pengajian Al-Quran (iPaQ) bertujuan memupuk nilai profesionalisme dan budaya kerja cemerlang dalam kalangan warga KESEDAR.
Majlis diteruskan dengan ketibaan YBrs. Tuan Haji Wan Muhd Rahimi Wan Salleh, Pengurus Besar KESEDAR dan YBhg. Datuk Haji Zawawi Haji Othman, Pengerusi KESEDAR. Satu tayangan video montaj aktiviti bulanan KESEDAR bagi bulan Ogos hingga Oktober 2025 turut dipertontonkan kepada hadirin bagi menyorot pelbagai aktiviti dan pencapaian organisasi sepanjang tempoh tersebut.
Dalam ucapan alu-aluan oleh Pengurus Besar, beliau menekankan kepentingan semangat kerja berpasukan dan integriti sebagai tunjang utama kecemerlangan organisasi. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua bahagian dan unit atas komitmen padu dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif KESEDAR sepanjang tahun 2025.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan amanat oleh YBhg. Datuk Haji Zawawi Haji Othman, Pengerusi KESEDAR. Dalam ucapannya, beliau menekankan agar seluruh warga KESEDAR terus berpegang kepada prinsip integriti dan etika kerja yang tinggi dalam mendukung visi serta misi organisasi.
Beliau turut menyempurnakan Penyampaian Anugerah Pekerja Bulanan bagi sesi Julai hingga September 2025 sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja yang menunjukkan prestasi cemerlang.
Sebagai simbol komitmen KESEDAR terhadap usaha membudayakan integriti, majlis turut menyaksikan Gimik Pelancaran Bulan Integriti Nasional KESEDAR 2025, yang menjadi antara inisiatif utama organisasi dalam memperkukuh nilai-nilai murni dalam pentadbiran dan operasi harian. Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh dan Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) En. Mohd Fadhly Ab Manaf.
Majlis diakhiri dengan jamuan tengah hari pada jam 1.00 tengah hari, yang turut menjadi ruang untuk warga kerja KESEDAR mengeratkan ukhuwah dan semangat kekitaan.
