GUA MUSANG, 12 Mac 2026 – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) terus memperkasakan kerohanian warga kerjanya dengan menganjurkan program ceramah agama sempena Bulan Ramadan Siri 3 yang bertajuk “Ramadan: Reset Jiwa, Reset Prestasi”. Program yang penuh pengisian ini telah disampaikan oleh Ustaz Syakirin Yuslan, seorang motivator berkaliber daripada Protazz Legacy Training & Consultancy. Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh penghayatan di Dewan Rahmat, Ibu Pejabat KESEDAR ini dihadiri oleh kepimpinan tertinggi agensi termasuk YBrs. Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh selaku Pengurus Besar KESEDAR. Turut hadir memberikan sokongan ialah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh serta Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf bersama seluruh warga kerja KESEDAR yang komited menimba ilmu.
Dalam slot ceramahnya, Ustaz Syakirin memberikan penekanan mendalam bahawa kehadiran bulan Ramadan merupakan medan terbaik bagi setiap individu melakukan proses “reset” atau penetapan semula terhadap kualiti jiwa dan prestasi diri secara menyeluruh. Beliau menjelaskan bahawa madrasah Ramadan bukan sekadar rutin menahan lapar dan dahaga, malah ia merupakan fasa kritikal dalam meningkatkan disiplin, integriti serta produktiviti kerja. Menurut beliau, keberkatan bulan ini seharusnya diterjemahkan melalui peningkatan kualiti tugasan harian dan kecemerlangan dalam kerjaya kerana setiap amanah yang dilaksanakan dengan jujur merupakan sebahagian daripada ibadah.
Beliau turut menambah bahawa Ramadan mendidik manusia agar kembali kepada fitrah yang suci dengan memperbaiki hubungan secara vertikal dengan Allah SWT dan hubungan horizontal sesama manusia. Nilai keikhlasan dan tanggungjawab yang dipupuk sepanjang sebulan berpuasa perlu dijadikan pemangkin untuk melahirkan warga kerja yang bukan sahaja mahir dalam teknikal, tetapi juga tinggi dari segi pembangunan sahsiah. Melalui inisiatif ini, KESEDAR membuktikan komitmen berterusan dalam memperkukuh aspek spiritual kakitangannya bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada masyarakat selaras dengan visi memajukan wilayah Kelantan Selatan.

KESEDAR" srcset="https://www.kesedar.gov.my/wp-content/uploads/2026/03/ceramah-ramadan-2.jpg 479w, https://www.kesedar.gov.my/wp-content/uploads/2026/03/ceramah-ramadan-2-400x284.jpg 480w" sizes="(max-width:479px) 479px, 100vw" class="wp-image-11930" />