FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

Fiesta Agropolitan Rantau Manis 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Agropolitan Rantau Manis pada 10 – 11 Oktober 2025 berjaya menarik kehadiran lebih 1500 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat. Program anjuran Pejabat Wilayah Gua Musang Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) ini bertujuan mengeratkan hubungan komuniti serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sihat dan bermanfaat.

Acara dimulakan seawal jam 7.00 pagi dengan Fun Walk Agropolitan Rantau Manis yang disertai oleh semua lapisan umur. Menariknya, baju percuma turut diberikan kepada 1,000 peserta terawal sebagai galakan penyertaan masyarakat setempat.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang hari, antaranya:, Pertandingan mewarna kanak-kanak, Pertandingan Mobile Legend, Hiqu Challenge, Arca Mobile, Dekorasi kek, Pemeriksaan kesihatan percuma, Pertandingan memasak popia goreng, Tukar minyak enjin motor percuma dan Pameran agensi

Program ini turut memberi peluang kepada komuniti mendapatkan maklumat terus daripada pelbagai agensi kerajaan yang membuka reruai pameran. Penyertaan aktif masyarakat menunjukkan sokongan terhadap usaha kerajaan memperkasakan komuniti luar bandar melalui pendekatan bersepadu dan inklusif.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pengerusi KESEDAR YBhg. Datuk Haji Zawawi Haji Othman yang turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran fiesta ini. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penganjuran program seumpama ini sebagai medium memperkukuh perpaduan dan memperkasa komuniti luar bandar.

Turut hadir Yang Berhormat Encik Mohd Azmawi Fikri bin Abdul Ghani ADUN Nenggiri merangkap Ahli Lembaga Pengarah KESEDAR, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Pengurus Bahagian & Ketua Unit, Ketua Eksekutif KESEDAR Holding Sdn Bhd, Pengurus Anak Syarikat, Pegawai-pegawai serta penjawat KESEDAR.

Kemuncak acara pada sebelah malam dengan Penampilan Artis Jemputan yang membariskan Usop, Den Manjo, Aiman Naagraj, Fadil Turbo dan Man Khan, bermula jam 9.00 malam di perkarangan Dewan Serbaguna Taman Agropolitan Rantau Manis. Persembahan tersebut telah menambahkan lagi kemeriahan fiesta dan menarik kehadiran ramai pengunjung.

Fiesta Agropolitan Rantau Manis 2025 berjaya mencapai matlamat sebagai platform perpaduan komuniti serta memperkenalkan pelbagai inisiatif pembangunan luar bandar dalam suasana santai dan mesra masyarakat.

wpChatIcon
wpChatIcon