Gua Musang – Hari Intervensi Psikologi Bersama AKRAB KKDW & KESEDAR telah berlangsung dengan jayanya pada 6 Mei 2026 (Rabu) bertempat di Dewan Rahmat, Ibu Pejabat KESEDAR dengan penyertaan aktif daripada warga kerja.
Penganjuran program ini merupakan gabungan kerjasama antara AKRAB KESEDAR, Kelab Keluarga KESEDAR (3K) serta Persatuan Wanita KESEDAR (PWK) dalam menjayakan inisiatif ke arah memperkukuh kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental warga kerja.
Program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf yang dalam ucapannya menekankan bahawa kesihatan mental merupakan tunjang utama dalam membentuk individu yang sejahtera, produktif dan berdaya tahan. Beliau turut menyifatkan program ini sebagai titik tolak dalam meningkatkan kesedaran warga kerja ke arah melahirkan insan yang harmoni dan sejahtera.
Bertemakan “Sejahtera Minda, Cemerlang Bersama”, program ini menjadi platform penting dalam memberi pendedahan berkaitan pengurusan emosi, tekanan kerja serta strategi menangani burnout di tempat kerja secara lebih berkesan.
Antara pengisian utama ialah Sesi Bual Bicara: Burnout di Tempat Kerja yang membuka ruang perkongsian ilmu, pengalaman serta pendekatan praktikal dalam mengurus tekanan kerja dengan lebih sihat, profesional dan efektif. Ceramah ini telah disampaikan oleh Puan Norazizah Azizan, Pegawai Psikologi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti team building yang interaktif dan mencabar. Menerusi aktiviti Kitchen Collaboration, peserta diberikan cabaran Mystery Box di mana mereka perlu menyediakan hidangan menggunakan bahan-bahan rahsia yang disediakan mengikut kreativiti dan kebijaksanaan masing-masing. Aktiviti ini berjaya mencungkil daya inovasi, kemahiran menyelesaikan masalah serta memperkukuh semangat kerja berpasukan.
Selain itu, aktiviti Art-Free Burnout memberi ruang kepada peserta mengekspresikan idea, emosi dan perspektif mereka melalui karya seni visual bertemakan kesejahteraan mental. Setiap hasil karya menampilkan interpretasi unik berkaitan kesedaran terhadap tekanan emosi serta usaha membebaskan diri daripada burnout melalui sentuhan seni yang kreatif dan bermakna.
Tidak ketinggalan, aktiviti Synergy Seekers berbentuk explorace turut menceriakan suasana apabila peserta diuji melalui pelbagai cabaran yang menuntut ketangkasan minda, strategi, komunikasi berkesan dan keserasian dalam pasukan. Aktiviti ini berjaya memupuk elemen kepimpinan, keyakinan diri dan semangat setiakawan.
Pelaksanaan program ini membuktikan komitmen berterusan semua pihak dalam melahirkan warga kerja yang bukan sahaja cemerlang dari aspek prestasi, malah seimbang dari sudut emosi, mental dan sosial.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Semoga segala ilmu, pengalaman dan nilai positif yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian serta menjadi pemangkin kepada pembentukan persekitaran kerja yang lebih harmoni, produktif dan sejahtera.
