FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

Gua Musang – Program Hari Terbuka Prihatin Komuniti Pejabat Operasi Lebir Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada 25 April 2026 (Sabtu) bertempat di Padang Awam RKT KESEDAR Lebir, Gua Musang, Kelantan bermula seawal jam 8.00 pagi.

Program ini telah menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, institusi pendidikan serta usahawan tempatan dalam usaha mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat setempat. Antara pengisian menarik yang telah dijalankan termasuklah pameran agensi dan gerai jualan oleh usahawan kecil KESEDAR, pameran keselamatan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta perkongsian maklumat oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Lebir, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Negeri, dan Lembaga Getah Malaysia.

Selain itu, turut diadakan pameran dan taklimat berkaitan program TVET serta bantuan keusahawanan oleh Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Bahagian Ekonomi dan Pelaburan KESEDAR bagi memberi pendedahan dan peluang kepada komuniti dalam meningkatkan taraf hidup. Tidak ketinggalan, jualan ikan segar oleh Jabatan Perikanan Malaysia (LKIM) serta jualan input pertanian oleh Koperasi Ladang Input Pertanian yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat.

Program ini juga dimeriahkan dengan pameran pendidikan melalui “Jom Sambung Ngaji” yang melibatkan Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), di samping perkhidmatan pendaftaran serta semakan status eKasih oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Peneroka RKT KESEDAR Lebir bersama barisan ketua-ketua peneroka RKT KESEDAR turut hadir bersama memeriahkan program tersebut. Kehadiran pemimpin komuniti ini bukan sahaja menyerikan suasana, malah mencerminkan sokongan padu serta komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga peneroka.

Salah satu pengisian utama yang menarik perhatian para pengunjung ialah acara cabutan bertuah. Suasana menjadi lebih meriah dengan penyertaan yang memberangsangkan serta pelbagai hadiah menarik yang telah dimenangi oleh pengunjung bertuah.

Bagi mengeratkan hubungan silaturahim, acara sukaneka komuniti turut diadakan melibatkan kategori kanak-kanak, belia dan veteran yang berlangsung dalam suasana penuh meriah dan semangat kekitaan. Program diakhiri dengan majlis penutup serta penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Kehadiran dan sokongan padu daripada komuniti setempat amatlah dihargai dan menjadi pemangkin kepada kejayaan penganjuran program ini.Semoga penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara agensi dan masyarakat serta menyemarakkan semangat komuniti yang prihatin, berdaya saing dan sejahtera.

wpChatIcon
wpChatIcon