FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

GUA MUSANG – Program Hari Terbuka Prihatin & Attachment Penjawat Baharu KESEDAR 2026 yang berlangsung selama dua (2) hari bermula 8 hingga 9 April 2026 telah berjaya dilaksanakan dengan penuh komitmen dan semangat kebersamaan melibatkan penjawat baharu KESEDAR bersama komuniti setempat.

Program yang diadakan di Kampung Kuala Sungai serta Taman Agropolitan Rantau Manis ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada penjawat baharu mengenai peranan sebenar KESEDAR dalam membangunkan komuniti luar bandar serta memperkukuhkan nilai empati, keprihatinan dan integriti dalam perkhidmatan.

Pada hari pertama di Kampung Kuala Sungai, semua penjawat baharu telah bermalam bersama komuniti setempat sebagai simbolik penghayatan kehidupan masyarakat desa. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan termasuk gotong-royong bersama penduduk kampung, pertandingan memasak bersama golongan suri rumah, sukan rakyat serta lawatan dari rumah ke rumah bagi mendapatkan maklumat dan memahami realiti kehidupan masyarakat secara lebih dekat.

Selain itu, pengisian kerohanian turut diberi penekanan melalui penganjuran kuliah Maghrib yang bertujuan memantapkan nilai spiritual serta membentuk sahsiah diri penjawat awam yang holistik.

Pada hari kedua, program diteruskan di Taman Agropolitan Rantau Manis dengan lawatan lapangan ke tapak fertigasi yang diusahakan oleh penduduk setempat. Lawatan ini memberi peluang kepada peserta memahami inisiatif ekonomi komuniti serta potensi pembangunan sektor pertanian moden dalam meningkatkan taraf hidup penduduk.

Kemuncak program, Yang Berhormat Encik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri merangkap Ahli Lembaga Pengarah KESEDAR telah menyampaikan ucapan kepada penjawat baharu. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penjawat awam untuk sentiasa turun padang, memahami denyut nadi rakyat serta melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab dan integriti.

Program ini dilihat sebagai platform penting dalam membentuk penjawat baharu KESEDAR yang lebih cakna, berdaya tahan dan berorientasikan rakyat selaras dengan aspirasi pembangunan komuniti yang inklusif dan mampan. Penganjuran program ini bukan sahaja berjaya merapatkan hubungan antara penjawat KESEDAR dan masyarakat, malah turut memperkukuhkan semangat kerja berpasukan serta nilai kebersamaan dalam merealisasikan agenda pembangunan luar bandar yang lebih berkesan.

wpChatIcon
wpChatIcon