Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menganjurkan Majlis Perhimpunan Bulan Mei 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah dan berinformasi bertempat di Dewan Lestari, KKDW. Majlis perhimpunan ini diadakan sebagai platform penyampaian maklumat, pengukuhan hala tuju kementerian serta penyatuan warga kerja agensi-agensi di bawah KKDW.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kehadiran beliau menyerlahkan lagi kepentingan majlis ini sebagai wadah memperkukuh komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar terus diberi keutamaan. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri KKDW, YB Datuk Hajah Rubiah Haji Wang, Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Tuan Meor Ismail Meor Akim serta Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh, bersama barisan pengurusan dan warga kerja pelbagai agensi.
Majlis perhimpunan ini turut diserikan dengan persembahan pentas daripada KEDA dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang berjaya menarik perhatian hadirin. KESEDAR telah membawa ‘nadi’ kehidupan peneroka menerusi persembahan sketsa Karoot Komedia bertajuk “Dari Ceruk Rimba ke Desa Sejahtera”. Sketsa ini memaparkan perjalanan penubuhan rancangan, kisah pahit manis kehidupan peneroka serta transformasi yang dialami sehingga mereka kini berada di ambang memiliki geran tanah sendiri, selaras dengan aspirasi pembangunan luar bandar negara.
Persembahan sketsa tersebut diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KESEDAR, Encik Mohd Fadhly Ab Manaf, dan turut diserikan dengan alunan dikir barat oleh Fadil Turbo, yang menambahkan elemen budaya dan hiburan tradisional. Bakat serta komitmen yang ditonjolkan oleh penjawat KESEDAR melalui persembahan ini telah menerima pujian secara langsung daripada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sekali gus membuktikan keupayaan warga agensi bukan sahaja dalam pentadbiran, malah dalam mengetengahkan mesej pembangunan secara kreatif.
Secara keseluruhan, Majlis Perhimpunan Bulan Mei 2025 ini bukan sahaja mencapai objektif penyampaian maklumat dan penyatuan warga kerja, malah berjaya menjadi platform memperlihatkan semangat, kreativiti serta dedikasi agensi-agensi di bawah KKDW. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis dan persembahan pada kali ini. Usaha dan komitmen anda semua sememangnya amat membanggakan.
