GUA MUSANG, 20 Ogos 2026 – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar menerusi Program Penanaman Pokok Sempena Kempen 100 Juta Pokok dan Latihan Membina Sikap (LMS) Bulan Ogos 2026 yang berlangsung di Kelab Golf Gua Musang dan Taman Rekreasi KESEDAR Perdana, Gua Musang.
Program yang menggabungkan elemen kelestarian alam sekitar, kecergasan fizikal dan pembangunan modal insan ini merupakan salah satu usaha menyemarakkan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya dalam membudayakan nilai kelestarian, kesejahteraan, ihsan, hormat dan tanggungjawab bersama dalam kalangan warga kerja.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Rahim bin Ramli, Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan, yang menekankan kepentingan kerjasama strategik antara agensi kerajaan dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta memastikan khazanah hutan terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Manakala dalam ucapan perasmian oleh YBrs. Tuan Haji W. Muhd Rahimi bin Wan Salleh, Pengurus Besar KESEDAR, menekankan bahawa usaha penanaman pokok bukan sahaja menyokong aspirasi Kempen 1 juta Pokok, malah menjadi manifestasi tanggungjawab bersama dalam mewujudkan persekitaran yang lebih hijau, sihat dan lestari.
Program turut dimeriahkan dengan aktiviti senamrobik dan kemuncak program diteruskan dengan aktiviti penanaman pokok di sekitar Taman Rekreasi KESEDAR Perdana. Turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KESEDAR, Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi), Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan), Pengurus-Pengurus Bahagian KESEDAR, kakitangan KESEDAR serta kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.
Kerjasama strategik antara KESEDAR dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan ini membuktikan bahawa agenda kelestarian memerlukan penglibatan dan kesepaduan semua pihak. Ia selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang mengangkat nilai kerjasama, ihsan dan tanggungjawab bersama dalam membina kehidupan yang lebih sejahtera serta persekitaran yang mampan.
