GUA MUSANG, 4 Januari 2026 — Program Bacaan Yasin, Solat Hajat dan Ceramah Agama Sempena Tahun Baharu 2026 telah berlangsung dengan penuh khusyuk dan penghayatan di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR). Penganjuran program ini bertujuan untuk memulakan tahun baharu dengan pengisian kerohanian, di samping memohon keberkatan, kesejahteraan serta kekuatan rohani dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab sepanjang tahun 2026.
Program dimulakan dengan Solat Hajat secara berjemaah yang dipimpin oleh imam jemputan. Solat ini diadakan sebagai simbolik penyerahan diri dan permohonan kepada Allah SWT agar segala urusan, perancangan serta pelaksanaan program KESEDAR pada tahun baharu ini dipermudahkan dan diberkati. Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Yasin yang menjadi wadah muhasabah diri, memperbaharui niat serta menginsafi perjalanan kehidupan dan tanggungjawab sebagai penjawat awam.
Program ini turut diserikan dengan ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Wan Mohamed Syahir bin Wan Mahmood, Imam Masjid Ismail Petra, Tanah Merah. Dalam ceramah beliau, para hadirin diingatkan tentang kepentingan memperbaharui azam dan niat dalam setiap tindakan, di samping memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT sebagai asas kepada keseimbangan kehidupan duniawi dan ukhrawi. Beliau turut menekankan nilai kesyukuran, keikhlasan serta istiqamah dalam melaksanakan tugas seharian agar setiap usaha yang dilakukan mendapat keberkatan.
Selain itu, Ustaz Wan Mohamed Syahir turut menyeru warga KESEDAR agar menjadikan doa dan amalan sebagai benteng kekuatan rohani dalam menghadapi cabaran mendatang, selaras dengan tuntutan tugas yang semakin mencabar. Nilai perpaduan, kasih sayang serta semangat kebersamaan dalam organisasi turut ditekankan bagi mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan produktif.
Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Pn. Hajah Norlidasaidi Awang Teh, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), En. Mohd Fadhly Abd Manaf, serta Pengurus-Pengurus Bahagian, Wilayah dan Ketua-Ketua Unit. Penganjuran program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan integriti, disiplin dan kecemerlangan warga KESEDAR sepanjang tahun 2026.
