Gua Musang 25 Januari 2026 – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menerima kunjungan hormat daripada Tender Pintar Sdn. Bhd. dalam satu sesi pertemuan rasmi yang bertujuan memperkukuh kerjasama strategik khususnya dalam aspek sistem perolehan digital dan membentangkan penggunaan fungsi serta ciri-ciri baharu sistem ePerolehan Tender Pintar.
Hadir mewakili KESEDAR ialah YBrs. Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh, Pengurus Besar KESEDAR. Turut hadir ialah En. Muhammad Solihe Yusoff, kakitangan Unit Perolehan KESEDAR serta wakil daripada Tender Pintar Sdn. Bhd. iaitu En. Muhamad Rafiq Muhamad Salim, En. Vedtha Kumar Narayanasamy, Puan Norasyidah Ramli dan Puan Nadiah Rosli.
Dalam ucapannya, Tuan Haji W Muhd Rahimi merakamkan penghargaan kepada Tender Pintar Sdn. Bhd. atas inisiatif mengadakan kunjungan hormat serta usaha berterusan dalam menyediakan sistem perolehan yang lebih efisien dan berintegriti. Beliau menegaskan bahawa penggunaan sistem ePerolehan Tender Pintar selari dengan aspirasi KESEDAR untuk memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan perolehan.
Beliau turut berharap agar kerjasama strategik ini dapat diteruskan dan diperkasakan melalui penambahbaikan sistem dari semasa ke semasa, sekali gus menyokong pelaksanaan transformasi digital KESEDAR secara menyeluruh.
Sementara itu, wakil Tender Pintar Sdn. Bhd. dalam ucapannya menyatakan komitmen syarikat untuk terus menyokong KESEDAR melalui penyediaan sistem yang mesra pengguna, selamat dan selari dengan keperluan organisasi. Beliau turut menegaskan bahawa pihak Tender Pintar sentiasa bersedia memberikan khidmat sokongan teknikal serta latihan berterusan bagi memastikan pelaksanaan sistem ePerolehan Tender Pintar berjalan lancar dan berkesan.
Sesi perbincangan ini turut memberi ruang pertukaran pandangan serta cadangan penambahbaikan bagi memastikan sistem perolehan KESEDAR terus cekap, telus dan selari dengan keperluan semasa organisasi.
