GUA MUSANG, 13 Januari 2026 – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menganjurkan Majlis Perhimpunan Bulanan KESEDAR bagi bulan Januari serta Amanat Tahun Baharu 2026 bertempat di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR dengan kehadiran seluruh warga kerja KESEDAR.
Majlis dimulakan dengan bacaan ikrar Rukun Negara yang dipimpin oleh wakil warga kerja sebagai simbol iltizam dan komitmen seluruh warga KESEDAR dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab dengan penuh integriti dan dedikasi.
Majlis turut diserikan dengan tayangan video montaj KESEDAR 2025 yang memaparkan pencapaian, kejayaan serta pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan sepanjang tahun lalu, sekali gus menyuntik semangat serta motivasi kepada warga kerja untuk terus melangkah cemerlang pada tahun 2026.
Dalam ucapannya, Pengurus Besar KESEDAR, Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja KESEDAR atas komitmen, kerjasama dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang tahun 2025.
Beliau menegaskan bahawa tahun 2026 merupakan tahun yang menuntut tahap profesionalisme, kecekapan serta keberanian untuk berubah sejajar dengan keperluan semasa dan aspirasi pembangunan negara.
Beliau turut menyeru agar budaya kerja berpasukan, inovasi dan penambahbaikan berterusan terus diperkasakan demi memastikan setiap inisiatif KESEDAR memberi impak nyata kepada masyarakat luar bandar.
Sementara itu, Pengerusi KESEDAR, YBhg. Datuk Haji Zawawi Haji Othman dalam amanatnya menekankan kepentingan kesepaduan antara kepimpinan dan warga kerja dalam menjayakan agenda pembangunan wilayah serta memperkukuh peranan KESEDAR sebagai agensi pembangunan yang berwibawa.
Beliau mengingatkan seluruh warga kerja agar sentiasa menjunjung nilai integriti, disiplin dan keikhlasan dalam setiap tugasan yang dilaksanakan.
Beliau turut menggesa agar seluruh warga KESEDAR menyahut aspirasi Malaysia MADANI dengan menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan, keadilan sosial dan pembangunan inklusif dalam setiap perancangan dan pelaksanaan program.
Sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen yang diberikan, majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil Majlis Bersama Jabatan (MBJ) KESEDAR tahun 2025.
Selain itu, sijil penghargaan turut disampaikan kepada semua Pengurus Bahagian, Pengurus Wilayah serta Ketua Unit sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan, dedikasi dan peranan penting mereka dalam memastikan kelancaran pentadbiran serta kejayaan pelaksanaan program dan projek KESEDAR.
Majlis Perhimpunan Bulanan ini menjadi platform penting untuk memperkukuh komunikasi dua hala antara pihak pengurusan dan warga kerja, di samping menyuntik semangat serta azam baharu bagi menghadapi cabaran sepanjang tahun 2026.
KESEDAR komited untuk terus memperkasa peranannya sebagai pemacu pembangunan wilayah selatan Kelantan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat secara berterusan.
