Klang, Selangor 23 Disember 2025 – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Dokumen Program/Projek Pembangunan Rolling Plan 2 (RP2), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Disember 2025 bertempat di Wyndham Acmar Klang Hotel, Selangor.
Penganjuran bengkel ini bertujuan memastikan perancangan dan pelaksanaan program serta projek pembangunan KESEDAR adalah selari dengan dasar kerajaan yang menekankan inisiatif Bold and Radical, meliputi tiga aspek utama iaitu modal insan, keusahawanan dan pembangunan ekonomi. Ia juga sejajar dengan visi dan misi Malaysia MADANI yang menekankan prinsip keharmonian, kesejahteraan rakyat, pembangunan mampan serta transformasi digital dalam pelaksanaan RMKe-13, disamping memberi pendedahan dan pemahaman menyeluruh kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ) KESEDAR dalam mengenal pasti keutamaan serta keperluan program dan projek pembangunan yang mampu memberi impak secara langsung kepada rakyat, khususnya di kawasan seliaan KESEDAR.
Selain itu, bengkel ini turut memberi latihan praktikal kepada peserta bagi memastikan setiap cadangan program dan projek yang dikemukakan adalah berimpak tinggi, berdaya maju serta memenuhi keperluan dasar dan keutamaan kerajaan semasa.
Turut hadir sebagai penceramah jemputan ialah En. Ahmad Hafiz bin Shamsir, Penolong Setiausaha, Bahagian Penyelarasan dan Pemantauan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), serta Pn. Wan Shafiah Ilyana binti Wan Mustapha, Kedua-dua penceramah telah menyampaikan taklimat dan perkongsian berhubung kaedah penyediaan permohonan program dan projek, termasuk tatacara penyediaan dokumen, penyediaan justifikasi projek serta pendekatan yang lebih berkesan bagi memudahkan proses kelulusan dan pemantauan projek di peringkat KESEDAR dan kementerian.
Melalui bengkel ini, KESEDAR dapat memperkukuh keupayaan warga kerjanya dalam merangka program dan projek pembangunan yang lebih tersusun, strategik serta memberi manfaat maksimum kepada rakyat, selaras dengan aspirasi pembangunan negara.
