Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah memperuntukkan hampir RM50,000 bagi menjayakan Program Ihya’ Ramadan sebagai sokongan berterusan kepada pembangunan rohani masyarakat di Wilayah Gua Musang sempena bulan Ramadan tahun ini. Peruntukan tersebut melibatkan sumbangan kepada sebanyak 29 buah masjid dan 47 buah madrasah yang berperanan penting sebagai pusat ibadah, pendidikan serta pengimarahan aktiviti keagamaan di peringkat komuniti.
Sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif berterusan KESEDAR dalam membantu pihak pengurusan masjid dan madrasah bagi melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan. Antara aktiviti yang disokong termasuklah penganjuran ceramah agama, pengajian kitab, program tadarus al-Quran, forum perdana serta aktiviti pengimarahan masjid yang mampu menarik penglibatan masyarakat setempat daripada pelbagai peringkat usia.
Program Ihya’ Ramadan ini bertujuan untuk membangunkan minda, mencorak sikap, mendidik jiwa serta membentuk sahsiah masyarakat agar lebih berakhlak dan berlandaskan nilai-nilai Islam. Melalui pengisian rohani yang berterusan, program ini diharap dapat membantu masyarakat mendalami serta memperkembangkan ilmu agama, seterusnya mengamalkan gaya hidup yang lebih seimbang dari segi rohani dan jasmani.
Majlis Penyampaian Sumbangan Ihya’ Ramadan Wilayah Gua Musang di bawah Program Rehabilitasi Komuniti KESEDAR telah berlangsung di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR. Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, YB Tuan Haji Mohd Syahbuddin Hashim, yang turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha KESEDAR dalam memperkukuh institusi masjid dan madrasah di kawasan luar bandar.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah ADUN Nenggiri yang juga Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KESEDAR, YB Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani serta Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W. Muhd Rahimi Wan Salleh, bersama wakil-wakil masjid dan madrasah yang menerima sumbangan.
KESEDAR berharap agar sumbangan yang disalurkan ini dapat memberi impak positif dan manfaat berterusan kepada penduduk setempat serta kumpulan sasar sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Selamat Menyambut Bulan Ramadan dan semoga segala amalan diterima serta diberkati.
