FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

30 Disember – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) menerusi Bahagian Pembangunan Pertanian telah menganjurkan Program Gotong-Royong Perdana dan Penyerahan Kit Bantuan Banjir kepada golongan sasar yang terjejas akibat bencana banjir di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Lebir. Program ini dilaksanakan sebagai manifestasi keprihatinan serta komitmen berterusan KESEDAR dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan komuniti setempat sentiasa terpelihara, khususnya ketika berhadapan dengan situasi bencana alam.

Seramai 45 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir telah menerima bantuan bakul makanan yang mengandungi keperluan asas harian. Penyerahan bantuan ini bertujuan meringankan beban penduduk yang terkesan, di samping membantu mereka meneruskan kehidupan seharian selepas berlakunya bencana. Selain itu, program gotong-royong perdana turut dilaksanakan dengan penglibatan kakitangan KESEDAR dan penduduk setempat bagi membersihkan kawasan rumah yang dilanda banjir.

Aktiviti pembersihan ini meliputi kerja-kerja mencuci dan mengemas kawasan kediaman, selain membersihkan kawasan awam seperti padang, taman permainan serta masjid di sekitar RKT KESEDAR Lebir. Usaha ini bukan sahaja membantu memulihkan persekitaran yang terjejas, malah turut mengukuhkan semangat kebersamaan, kerjasama dan saling membantu dalam kalangan masyarakat setempat selepas menghadapi detik sukar.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Encik Mohd Azmawi Fikri bin Abdul Ghani, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri merangkap Ahli Lembaga Pengarah KESEDAR, Tuan Haji W. Muhd Rahimi Wan Salleh, Pengurus Besar KESEDAR, Encik Mohd Fadhly bin Ab Manaf, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), serta para pengurus bahagian dan kakitangan Pejabat-Pejabat Operasi KESEDAR. Kehadiran kepimpinan tertinggi dan wakil rakyat ini mencerminkan sokongan padu serta keprihatinan terhadap kebajikan penduduk yang terjejas.

Melalui penganjuran program seumpama ini, KESEDAR terus komited memainkan peranan proaktif dalam membantu komuniti luar bandar, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, keprihatinan serta kesejahteraan rakyat secara inklusif dan berterusan.

wpChatIcon
wpChatIcon