FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

Seramai 88 kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menyertai Kursus Asas Pertahanan Awam Tahun 2025 yang diadakan di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR. Kursus yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan KESEDAR dalam memperkukuh tahap kesiapsiagaan, disiplin serta keupayaan warga kerjanya menghadapi sebarang situasi kecemasan dan bencana.

Penganjuran kursus ini bertujuan memberi pendedahan serta kefahaman menyeluruh kepada para peserta berkaitan pengurusan dalam pertahanan awam, di samping meningkatkan kemahiran asas yang amat penting dalam situasi kritikal. Antara modul utama yang diketengahkan termasuk asas kemahiran kawad kaki bagi membentuk disiplin dan kerjasama berpasukan, asas kemahiran medik untuk tindakan awal kecemasan, asas kemahiran melawan kebakaran, serta asas kemahiran ikatan dan simpulan yang sering digunakan dalam operasi menyelamat. Selain itu, peserta turut didedahkan dengan asas kemahiran menyelamat bagi meningkatkan keyakinan dan kecekapan dalam membantu mangsa ketika berlakunya bencana atau kemalangan.

Kursus ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KESEDAR, Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh. Dalam ucapan perasmian beliau, Puan Hajah Norlidasaidi menegaskan bahawa latihan seumpama ini amat penting bagi membentuk warga kerja yang berdaya tahan, berdisiplin serta bersedia untuk bertindak pantas dan berkesan dalam apa jua keadaan. Menurut beliau, kemahiran asas pertahanan awam bukan sahaja berguna di tempat kerja, malah boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan ketika membantu masyarakat setempat.

Turut hadir ialah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kelantan, YS KOL. (PA) Mohd Adzhar Mujab, yang turut berkongsi pengalaman serta kepakaran beliau dalam bidang pertahanan awam. Penganjuran kursus ini diharap dapat melahirkan warga KESEDAR yang lebih berpengetahuan, cekap dan bersedia untuk memainkan peranan sebagai barisan sokongan awal sekiranya berlaku kecemasan, selaras dengan komitmen KESEDAR dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

wpChatIcon
wpChatIcon