FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

GUA MUSANG, 24 Jun 2025 — Kursus ICT CapCut Video Editing dan Canva Grafik Editing telah berjaya dianjurkan pada 23 dan 24 Jun 2025 bertempat di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR). Penganjuran kursus selama dua hari ini merupakan salah satu inisiatif berterusan KESEDAR dalam memperkasa kemahiran digital warga kerjanya selaras dengan keperluan semasa penyampaian maklumat dan komunikasi organisasi yang semakin berteraskan teknologi.

Program ini dirangka khusus untuk meningkatkan kemahiran penyuntingan video dan reka bentuk grafik dalam kalangan penjawat awam, khususnya bagi menyokong keperluan penghasilan bahan promosi, hebahan maklumat serta kandungan kreatif untuk platform media sosial dan saluran komunikasi rasmi KESEDAR. Seramai 29 orang peserta daripada pelbagai unit dan bahagian telah mengambil bahagian dalam kursus ini, sekali gus mencerminkan komitmen organisasi dalam memperkukuh kompetensi ICT secara menyeluruh.

Sepanjang dua hari kursus berlangsung, para peserta telah didedahkan kepada asas penggunaan aplikasi CapCut bagi penyuntingan video kreatif, termasuk teknik memotong video, penyusunan klip, penambahan teks, muzik latar, kesan visual serta transisi yang sesuai. Selain itu, peserta turut diberi pendedahan kepada penggunaan aplikasi Canva bagi menghasilkan bahan grafik yang menarik dan profesional seperti poster, risalah, infografik serta kandungan media sosial yang lebih berimpak.

Pendekatan latihan yang menekankan pembelajaran secara praktikal telah dilaksanakan bagi memastikan peserta dapat memahami dengan lebih jelas serta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh secara terus dalam tugasan harian. Kehadiran tenaga pengajar berpengalaman, Pengarah Urusan IQP Solution, Puan Noorul Shafini Annuar, telah membantu melancarkan sesi pembelajaran melalui penyampaian yang sistematik, mudah difahami serta disertai contoh-contoh praktikal berdasarkan situasi sebenar.

Sebagai penutup kursus, para peserta telah diberi peluang untuk menghasilkan projek akhir menggunakan kedua-dua aplikasi CapCut dan Canva sebagai medium penilaian tahap pemahaman, kreativiti dan kemahiran yang telah dipelajari. Secara keseluruhannya, kursus ini telah berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam meningkatkan keupayaan digital warga kerja KESEDAR, sekali gus menyokong usaha organisasi untuk tampil lebih kreatif, dinamik dan berdaya saing dalam era pendigitalan.

wpChatIcon
wpChatIcon