Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menganjurkan Kursus Institusi Kepimpinan dan Kekeluargaan Rancangan (Siri 1): Kursus Smart Parenting hari ini sebagai salah satu inisiatif penting dalam memperkukuh institusi kekeluargaan di kawasan rancangan KESEDAR. Kursus yang dilaksanakan di bawah Program Rehabilitasi Komuniti KESEDAR Tahun 2025 ini telah diadakan di KESEDAR Hotel Travel & Tours, Gua Musang, dalam suasana yang kondusif serta mesra peserta.
Menerusi penganjuran kursus siri pertama ini, seramai 32 pasangan suami isteri, melibatkan 64 orang peserta, telah mengambil bahagian dengan penuh komitmen dan minat. Kursus ini telah dikendalikan oleh penceramah berpengalaman, Haji Hushim Salleh, yang berkongsi ilmu, pandangan serta pengalaman berkaitan keibubapaan secara praktikal dan berkesan. Sepanjang sesi berlangsung, para peserta didedahkan dengan pendekatan psikologi, pendidikan serta pembangunan sahsiah anak-anak yang sesuai dengan keperluan semasa.
Kursus Smart Parenting merupakan satu inisiatif program yang bertujuan untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran keibubapaan dalam kalangan ibu bapa agar lebih bersedia menghadapi cabaran mendidik anak-anak pada era moden yang serba kompleks. Antara fokus utama kursus ini ialah membimbing ibu bapa memahami peranan dan tanggungjawab mereka secara holistik, di samping membentuk komunikasi berkesan dalam keluarga serta mewujudkan persekitaran rumah yang harmoni dan sejahtera.
Selain itu, kursus ini turut memberi penekanan kepada usaha memperkasakan peranan ibu bapa sebagai ‘role model’ atau contoh terbaik kepada anak-anak. Melalui penerapan nilai-nilai murni, sikap terpuji dan rasa tanggungjawab, ibu bapa dapat membentuk generasi yang berdisiplin, berakhlak mulia serta mampu menyesuaikan diri dengan cabaran global masa kini.
Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KESEDAR, Encik Mohd Fadhly Ab Manaf. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran kursus seumpama ini amat penting dalam memastikan kesejahteraan keluarga di kawasan KESEDAR terus terpelihara. Beliau berharap agar ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian serta memberi impak positif bukan sahaja kepada institusi keluarga, malah kepada pembangunan masyarakat secara keseluruhan.
