FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

GUA MUSANG, 3 Disember 2025 – Seramai 27 orang pelajar daripada kursus Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Machang, Cawangan Kelantan telah mengadakan Lawatan Akademik ke Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) hari ini. Program ini dianjurkan bagi memberi pendedahan mendalam kepada para pelajar mengenai peranan strategik KESEDAR dalam pembangunan Wilayah Kelantan Selatan, merangkumi aspek pengurusan organisasi, pembangunan masyarakat serta pelaksanaan teknologi dalam urusan pentadbiran dan perniagaan.

Sesi lawatan bermula dengan taklimat utama oleh En. Husnifaisal Ramli, Pengurus Bahagian Pentadbiran dan Sumber Manusia KESEDAR. Dalam sesi tersebut, beliau menerangkan secara komprehensif struktur organisasi, fungsi setiap bahagian serta pendekatan holistik KESEDAR dalam mengurus sumber manusia dan membangunkan kompetensi warga kerja. Taklimat ini memberikan gambaran jelas kepada pelajar mengenai cabaran dan keperluan pengurusan teknologi dalam organisasi sektor awam. Turut mengiringi pelajar ialah dua pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi UiTM, Madam Wan Nor Hazimah Wan Azib dan Madam Mimi Zazira Hashim @ Hussein, yang sentiasa komited dalam memastikan pelajar mendapat pendedahan industri secara langsung bagi mengukuhkan pemahaman teori dan praktikal.

Majlis turut melibatkan penyertaan pegawai-pegawai dari pelbagai bahagian KESEDAR, yang membantu memperincikan maklumat berkaitan projek pembangunan, operasi harian, serta strategi pemberdayaan masyarakat setempat. Sepanjang program, pelajar berpeluang mendapatkan penjelasan lanjut mengenai projek fizikal, inisiatif sosial dan peranan KESEDAR dalam meningkatkan taraf hidup penduduk kawasan selatan. Sesi soal jawab berlangsung dengan interaktif, membolehkan pertukaran idea dan pandangan secara terbuka.

Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik–industri, malah membuka ruang pembelajaran lebih realistik dan holistik kepada para pelajar dalam memahami aplikasi sebenar pengurusan teknologi dalam organisasi pembangunan wilayah.

wpChatIcon
wpChatIcon