GUA MUSANG, 9 Ogos 2026 – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menganjurkan Majlis Apresiasi dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KESEDAR Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR.
Majlis ini menjadi wadah penghargaan dan pengiktirafan kepada warga kerja KESEDAR yang telah menunjukkan komitmen, dedikasi serta prestasi kerja cemerlang dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab sepanjang tahun perkhidmatan.
Seramai 39 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 diraikan dalam majlis berkenaan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan pencapaian mereka dalam membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan KESEDAR.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Selamat Sultan dan Lagu KESEDAR Cemerlang, diikuti bacaan doa serta tayangan multimedia yang memaparkan sorotan pencapaian dan aktiviti KESEDAR.
Ucapan aluan telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Haji W. Muhd Rahimi bin Wan Salleh, Pengurus Besar KESEDAR, yang menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja atas komitmen dan usaha berterusan dalam memastikan setiap amanah organisasi dilaksanakan dengan sebaiknya.
Majlis turut diserikan dengan ucaptama oleh YBhg. Datuk Haji Zawawi bin Haji Othman, Pengerusi Lembaga Pengarah KESEDAR, yang menekankan kepentingan budaya kerja berprestasi tinggi, integriti serta semangat berpasukan dalam memperkukuh kecemerlangan organisasi.
Turut hadir ialah Yang Berhormat Encik Mohd Azmawi Fikri bin Abdul Ghani, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, serta En. Mohd Fadhly bin Ab Manaf, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KESEDAR.
Selain penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 kepada 39 penerima, majlis turut meraikan para pesara KESEDAR menerusi penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati sebagai tanda mengenang jasa serta khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada organisasi.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama para penerima APC, pesara dan barisan pengurusan KESEDAR. Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen KESEDAR dalam membudayakan penghargaan, kecemerlangan dan kesejahteraan warga kerja selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya dalam membina organisasi yang berintegriti, berdaya saing, progresif dan berorientasikan perkhidmatan kepada rakyat.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima APC serta setinggi-tinggi penghargaan kepada para pesara atas segala jasa dan sumbangan kepada KESEDAR.

KESEDAR Tahun 2025: Menghargai Jasa, Menyemarak Prestasi" srcset="https://www.kesedar.gov.my/wp-content/uploads/2026/08/apc-2025-1.jpg 479w, https://www.kesedar.gov.my/wp-content/uploads/2026/08/apc-2025-1-400x284.jpg 480w" sizes="(max-width:479px) 479px, 100vw" class="wp-image-14508" />