FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

Lebih 3,000 tetamu yang terdiri daripada penduduk setempat membanjiri Dataran Awam Kampung Jerek, Gua Musang bagi memeriahkan Majlis Hari Raya Aidilfitri KESEDAR 2025 yang berlangsung semalam. Majlis yang penuh meriah ini menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat setempat, pihak kerajaan dan agensi pembangunan luar bandar.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga memegang portfolio sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Turut diserikan dengan majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) kepada penerima, ia merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memastikan kesejahteraan dan kemudahan asas rakyat di kawasan luar bandar terus diperkasa.

Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut mengumumkan beberapa kelulusan projek pembangunan yang signifikan bagi kawasan Kelantan Selatan, khususnya di Dun Nenggiri. Antaranya ialah peruntukan RM1.5 juta bagi pembinaan Masjid Mukim Jerek serta RM2 juta untuk pembinaan jambatan di Kampung Batu 10, projek yang diharap dapat meningkatkan kemudahan infrastruktur dan akses penduduk tempatan. Selain itu, beliau turut mengumumkan pembukaan semula Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Gua Musang, bagi memberi peluang kepada belia daerah ini melanjutkan pelajaran dalam bidang yang bersesuaian serta meningkatkan kualiti sumber manusia di kawasan luar bandar.

Majlis ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan negeri dan agensi, antaranya ADUN Nenggiri, YB Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, ADUN Galas, YB Tuan Haji Mohd Syahbuddin Hashim, Pengerusi KESEDAR, Datuk Haji Zawawi Othman, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, serta Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W. Muhd Rahimi Wan Salleh. Kehadiran barisan kepimpinan ini mencerminkan sokongan padu terhadap pembangunan luar bandar serta kesejahteraan masyarakat.

Dalam pada itu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyaksikan penandatanganan Borang 14A Pindah Milik Tanah antara peneroka dan Ketua Jajahan Gua Musang, Tuan Mohd Roshdi Ismail, sebagai simbol pemilikan sah tanah peneroka. Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri KESEDAR 2025 ini bukan sahaja menyemarakkan suasana perayaan, malah menjadi platform penting untuk menyampaikan manfaat pembangunan kepada rakyat, memperkukuh perpaduan komuniti serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat di Kelantan Selatan.

wpChatIcon
wpChatIcon