FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

Gua Musang, 12 Januari 2026 – PUSPANITA KESEDAR telah menganjurkan Majlis Hi-Tea Seri Anggun bertemakan Matcha Strawberry bertempat di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR. Penganjuran majlis ini berlangsung dalam suasana santai, ceria dan penuh kemesraan, sekali gus menjadi platform yang berkesan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli PUSPANITA Agensi dan Jabatan di Jajahan Gua Musang.

Majlis ini diadakan dengan objektif untuk menghargai sumbangan, komitmen serta penglibatan aktif ahli-ahli PUSPANITA dalam menjayakan pelbagai program dan aktiviti persatuan sepanjang tahun. Selain itu, ia turut bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi dan jabatan, di samping mewujudkan suasana kebersamaan yang harmoni dalam kalangan warga kerja wanita.

Majlis Hi-Tea Seri Anggun ini telah diserikan dengan kehadiran Pn. Hajah Saida binti Haji Mat, Pengerusi PUSPANITA KESEDAR, Pn. Wan Azian Wan Yusuf, Timbalan Pengerusi II PUSPANITA KESEDAR serta Puan May binti Soluman, Pengerusi PERKEP Jajahan Gua Musang. Kehadiran barisan kepimpinan ini mencerminkan sokongan padu terhadap usaha memperkasakan peranan PUSPANITA sebagai wadah perpaduan dan pembangunan wanita.

Dalam ucapannya, Pn. Hajah Saida binti Haji Mat menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sokongan serta kerjasama semua ahli yang telah bertungkus-lumus menjayakan program PUSPANITA KESEDAR. Beliau menegaskan bahawa penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, malah berfungsi sebagai medium untuk memperkukuh semangat kebersamaan, saling menghormati dan kerjasama berpasukan dalam kalangan ahli PUSPANITA Agensi dan Jabatan di Jajahan Gua Musang. Beliau turut berharap agar aktiviti sebegini dapat diteruskan secara berterusan pada masa hadapan bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih harmoni, mesra dan produktif.

Selain menikmati jamuan hi-tea yang disajikan dengan dekorasi menarik selari dengan tema Matcha Strawberry, majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti permainan santai yang melibatkan penyertaan para ahli. Aktiviti ini berjaya mencetuskan suasana ceria dan mengukuhkan lagi semangat kekitaan. Acara kemuncak majlis diteruskan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada para pemenang, sekali gus menambahkan keterujaan para hadirin.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama tetamu kehormat serta semua ahli PUSPANITA Agensi dan Jabatan di Jajahan Gua Musang sebagai kenangan dan simbol kebersamaan. Secara keseluruhannya, Majlis Hi-Tea Seri Anggun PUSPANITA KESEDAR telah berjaya mencapai objektif penganjurannya, selari dengan aspirasi membina masyarakat yang MADANI, sejahtera dan berdaya saing.

wpChatIcon
wpChatIcon