FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Automative Metal Parts Manufacturing di bawah Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional TVET@KESEDAR Tahun 2026 telah berlangsung pada 17 Ogos 2026 bertempat di Kolej Sei Ryu Sha, Shah Alam, Selangor.

Kursus yang berlangsung selama enam minggu, bermula 5 Julai hingga 16 Ogos 2026, bertujuan memberikan pendedahan serta kemahiran teknikal kepada peserta dalam bidang pembuatan komponen logam automotif, selaras dengan keperluan industri dan usaha memperkasa modal insan melalui pendidikan serta latihan TVET.

Seramai 16 orang peserta telah mengikuti kursus ini yang terdiri daripada 3 orang dari Wilayah Kuala Krai, 3 orang dari Wilayah Jeli/Tanah Merah, 7 orang dari Wilayah Gua Musang dan 3 orang daripada Bahagian Pembangunan Pertanian.

Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Haji W. Muhd Rahimi bin Wan Salleh, Pengurus Besar KESEDAR, Encik Ramadhan bin Sulaiman, Pengurus Bahagian Ekonomi dan Pelaburan, Encik Ahmad Hakimuddin bin Ramli, wakil Bahagian Pembangunan Masyarakat, serta wakil pihak kolej, Dr. Wan Yusoff bin Wan Ismail.

Dalam ucapannya, Pengurus Besar KESEDAR menzahirkan penghargaan kepada pihak kolej, urus setia dan semua pihak yang menjayakan pelaksanaan kursus tersebut. Beliau turut menekankan bahawa penguasaan kemahiran teknikal dan vokasional merupakan antara aspek penting dalam meningkatkan kebolehpasaran peserta, di samping membuka peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan dan membina kerjaya yang lebih baik.

Program ini mencerminkan komitmen KESEDAR dalam memperkasa masyarakat melalui pendidikan dan kemahiran, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan modal insan, peningkatan taraf hidup serta kesejahteraan masyarakat secara inklusif dan mampan.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta atas kejayaan menamatkan kursus. Semoga ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaiknya serta menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih cerah.

wpChatIcon
wpChatIcon