PUTRAJAYA, 2 April – Majlis Perhimpunan Bulan April Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2026 telah berlangsung dengan penuh tertib dan meriah di Dewan Seri Lestari, Aras B1, KKDW yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut menyampaikan ucapan amanat kepada warga kementerian.
Dalam ucapannya, YAB Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa negara kini berdepan cabaran global yang memberikan kesan langsung dan tidak langsung kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat, termasuk kenaikan harga minyak, inflasi dan kos sara hidup yang turut dirasai pada peringkat desa.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Hajah Rubiah Haji Wang, Ketua Setiausaha KKDW, YBhg. Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi Lembaga Pengarah KESEDAR, YBhg. Datuk Haji Zawawi Haji Othman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), YBhg. Datuk Abdul Kahar bin Abdullah, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), YBhg. Dato’ Dr. Roslan bin Mahmood.
Kehadiran Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan), Datuk Azman bin Mahmood, pengerusi-pengerusi agensi dan Lembaga Kemajuan Wilayah, Ketua Pegawai Operasi Anak Syarikat, Ketua-Ketua Pengarah, Pengurus Besar Agensi KKDW, Setiausaha Bahagian, Ketua Unit Serta Pengarah-Pengarah KKDW negeri turut memeriahkan majlis.
Majlis turut diserikan dengan bacaan ikrar oleh pegawai dari KESEDAR yang melambangkan komitmen penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, dedikasi dan semangat berpasukan.
Selain itu, warga KESEDAR turut mempersembahkan sebuah sketsa muzikal yang bertajuk “Cahaya Dari MADANI” yang membawa mesej nilai-nilai murni, semangat perpaduan serta keprihatinan terhadap pembangunan masyarakat luar bandar selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Persembahan tersebut berjaya menarik perhatian hadirin dan mendapat penghargaan atas kreativiti serta penyampaian yang berkesan.
Perhimpunan bulanan ini menjadi platform penting bagi menyampaikan amanat kepimpinan tertinggi kementerian, selain mengukuhkan hubungan kerja dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga KKDW dan agensi.
