Warga kerja Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) diingatkan agar terus menghayati nilai perjuangan, semangat patriotisme serta perpaduan dalam kalangan penjawat awam demi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan bersama. Peringatan ini penting khususnya dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan sebagai manifestasi rasa cinta, taat setia dan penghargaan terhadap tanah air tercinta.
Yang Berusaha Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh menegaskan bahawa penghayatan terhadap nilai kebangsaan perlu diterjemahkan bukan sahaja melalui simbol dan perayaan, malah melalui sikap, tindakan serta budaya kerja seharian yang menekankan kerjasama, saling menghormati dan integriti. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan KESEDAR yang berlangsung di Dewan Dato’ Haji Ariffin Said, dengan kehadiran warga kerja daripada pelbagai bahagian dan unit.
Menurut beliau, tema sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini iaitu “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni” amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan dan organisasi, yang menekankan kepentingan kesejahteraan rakyat, nilai kemanusiaan serta keharmonian sosial. Tema tersebut selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang mengutamakan pembangunan seimbang merangkumi aspek fizikal, ekonomi, sosial dan rohani, di samping memperkukuh perpaduan dalam masyarakat majmuk.
Majlis perhimpunan ini turut dimeriahkan dengan persembahan sajak dan lakonan bertemakan patriotisme sebagai gimik pelancaran penyerahan Jalur Gemilang. Persembahan tersebut bukan sahaja menyuntik semangat cintakan negara, malah berjaya menghidupkan suasana Bulan Kebangsaan dalam kalangan warga KESEDAR. Seterusnya, berlangsung majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Pengurus Besar KESEDAR yang disempurnakan oleh Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia.
Pengurus Besar KESEDAR kemudiannya menyampaikan Jalur Gemilang kepada semua Pengurus Bahagian, Pengurus Wilayah, Ketua Unit serta Pengurus Anak Syarikat sebagai simbol komitmen bersama untuk menyemarakkan semangat kebangsaan di tempat kerja masing-masing. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh, barisan pengurusan serta seluruh warga kerja KESEDAR.
Majlis ini diharapkan dapat menyemai semangat perpaduan, patriotisme dan tanggungjawab bersama dalam kalangan warga KESEDAR selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

KESEDAR Bagi Bulan Ogos 2025" srcset="https://www.kesedar.gov.my/wp-content/uploads/2026/01/Gambar-36.jpg 479w, https://www.kesedar.gov.my/wp-content/uploads/2026/01/Gambar-36-400x284.jpg 480w" sizes="(max-width:479px) 479px, 100vw" class="wp-image-9713" />