Mega Karnival Usahawan KESEDAR (MEKAR) 2026 telah melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang. Berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula 29 Jun hingga 2 Julai 2026, acara berskala besar yang bertempat di Medan MARA, Kuala Lumpur ini nyata mencipta fenomena dan kejayaan yang tersendiri. Penganjuran edisi kali ini berjaya merekodkan angka kehadiran luar biasa dengan ketibaan lebih daripada 12,000 orang pengunjung. Sambutan hebat dari pelbagai lapisan masyarakat ini sekali gus membuktikan sokongan padu terhadap program inisiatif pemerkasaan usahawan desa yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
Sejak dari hari pertama tirai karnival dibuka, ruang legar Medan MARA sentiasa dipenuhi dengan kemeriahan berterusan melalui pelbagai pengisian interaktif yang menarik perhatian pengunjung dari segenap usia. Antara tarikan utama yang mencuri tumpuan pastinya kemunculan istimewa pempengaruh (influencer) terkenal, Issey Fazlisham yang nyata menghidupkan suasana. Selain itu, para pengunjung turut disajikan dengan pelbagai sesi demonstrasi kemahiran seperti gubahan belon, seni gubahan kek, serta demonstrasi masakan tradisional yang membangkitkan selera.
Tidak ketinggalan, kemeriahan karnival diserikan lagi dengan persembahan buskers jalanan dan persembahan seni kebudayaan Dikir Barat yang berjaya membawa aura Pantai Timur ke tengah-tengah ibu kota. Bagi memupuk penglibatan pengunjung, pelbagai permainan interaktif turut dianjurkan seperti Falling Stick, Human Cube, permainan Dart, Dam Ular Gergasi, dan Kahoot Games. Segmen Flash Sale bersama usahawan dan KESEDAR, serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, sentiasa ditunggu-tunggu dan berjaya menceriakan suasana sepanjang empat hari karnival berlangsung.
Lebih daripada sekadar hiburan dan pameran jualan, penganjuran MEKAR 2026 memainkan peranan penting sebagai sebuah platform strategik. Ia bukan sahaja mempromosikan kualiti produk dan perkhidmatan usahawan bimbingan KESEDAR, malah ia menjadi medan terbaik untuk membuka peluang pemasaran yang lebih luas. Karnival seumpama ini membantu usahawan memperkukuhkan jaringan perniagaan bersama pelanggan baharu serta memperkenalkan keunikan produk tempatan luar bandar kepada pasaran perdana di Kuala Lumpur.
Pihak pengurusan KESEDAR mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak, para pempamer, penaja, dan pengunjung yang terlibat dalam menjayakan MEKAR 2026. Semoga kejayaan penganjuran karnival ini menjadi batu loncatan dan pemangkin kepada pembangunan usahawan desa yang lebih berdaya saing, berinovasi tinggi, dan mampu menyumbang kepada kemajuan ekonomi komuniti setempat seiring dengan aspirasi “Menuju 50 Tahun KESEDAR 2028”.

KESEDAR (MEKAR) 2026 Melabuhkan Tirai Dengan Penuh Gilang-Gemilang, Catat Kehadiran Lebih 12,000 Pengunjung" srcset="https://www.kesedar.gov.my/wp-content/uploads/2026/07/mekar-2026-11.jpg 479w, https://www.kesedar.gov.my/wp-content/uploads/2026/07/mekar-2026-11-400x284.jpg 480w" sizes="(max-width:479px) 479px, 100vw" class="wp-image-13926" />