FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

17 Disember 2025 – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah melaksanakan projek menaik taraf Mesin Pemprosesan Sisa Buangan Kelapa Sawit kepada Sistem Decanter Cake dan seterusnya menyerahkan mesin tersebut kepada KESEDAR Perkilangan Sdn. Bhd. (KPSB) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Kilang Sawit KPSB.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Haji Zawawi bin Haji Othman, Pengerusi KESEDAR. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan projek ini selari dengan agenda pembangunan mampan KESEDAR yang menitikberatkan penggunaan teknologi moden, cekap dan mesra alam dalam sektor perkilangan. Menurut beliau, peruntukan keseluruhan berjumlah RM915,790 bagi projek ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui KESEDAR dalam usaha meningkatkan produktiviti kilang, mengoptimumkan pengurusan sisa buangan serta memperkukuh daya saing industri sawit di kawasan pembangunan KESEDAR.

Sementara itu, YB Dato’ Paduka Mohd Syahbuddin bin Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas merangkap Pengerusi KESEDAR Perkilangan, turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KESEDAR atas inisiatif menaik taraf mesin pemprosesan sisa buangan kelapa sawit kepada Sistem Decanter Cake yang lebih moden dan berteknologi tinggi. Beliau menyatakan bahawa pelaburan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti pemprosesan, malah mampu mengurangkan impak terhadap alam sekitar serta memberikan nilai tambah kepada hasil sampingan industri sawit. Selain itu, kemudahan ini juga dijangka menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan ekonomi masyarakat setempat.

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KESEDAR, Encik Mohd Fadhly Abd Manaf, pegawai-pegawai KESEDAR, wakil pengurusan KPSB serta jemputan lain, sekali gus menzahirkan sokongan padu terhadap usaha pemodenan sektor perkilangan sawit di bawah KESEDAR.

wpChatIcon
wpChatIcon