Gua Musang, 29 Januari 2026 – Kelab Keluarga KESEDAR (3K) telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Kali Ke-25 bertempat di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR.
Mesyuarat ini menghimpunkan warga KESEDAR dalam suasana penuh harmoni sejajar dengan aspirasi organisasi untuk terus memperkukuh hubungan silaturrahim serta memperkasakan peranan kelab dalam kalangan warga kerja KESEDAR.
Dalam ucapannya, Yang Dipertua Kelab 3K, Encik Hasri Rifdi bin Mamat, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa serta ahli kelab atas komitmen dan sokongan berterusan dalam menjayakan aktiviti kelab sepanjang tahun. Beliau menekankan kepentingan perpaduan dan kerjasama sebagai tunjang kekuatan Kelab Keluarga KESEDAR.
Sementara itu, Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh, dalam ucapannya, menyatakan bahawa Kelab Keluarga KESEDAR merupakan platform penting untuk memperkukuh hubungan antara warga kerja serta memupuk semangat kekeluargaan dan kebersamaan. Beliau juga menekankan bahawa kejayaan organisasi bukan sahaja bergantung kepada prestasi kerja tetapi juga kepada kesejahteraan dan keharmonian warga KESEDAR. Beliau mengajak semua ahli kelab untuk terus aktif menyertai aktiviti sosial, kebajikan dan pembangunan diri yang dianjurkan kelab, bagi memastikan nilai-nilai murni dan semangat Malaysia Madani terus subur dalam komuniti KESEDAR.
Majlis turut merakamkan ucapan tahniah kepada ahli jawatankuasa (AJK) baru yang dilantik bagi sesi 2026/2027, diharapkan mereka akan membawa idea baharu, semangat inovasi, dan komitmen tinggi untuk memperkasakan Kelab Keluarga KESEDAR serta menjayakan program-program yang bermanfaat kepada semua ahli.
Majlis turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik, sekali gus menambahkan kemeriahan dan keterujaan dalam kalangan para ahli kelab.
Mesyuarat Agung ini bukan sahaja menjadi medan perbincangan rasmi, malah berfungsi sebagai platform memperkukuh ukhuwah, memupuk semangat kebersamaan serta mengukuhkan komitmen warga KESEDAR ke arah membina komuniti kerja yang sejahtera, progresif dan berdaya saing.
