GUA MUSANG, 26 Julai 2026 – Koperasi Pegawai-Pegawai KESEDAR Berhad (KPKB) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-36 di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR, Gua Musang. Mesyuarat ini menghimpunkan anggota koperasi bagi membentangkan laporan prestasi, penyata kewangan serta membincangkan hala tuju koperasi dalam memperkukuhkan peranannya sebagai pemacu kesejahteraan ekonomi anggota, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan, ihsan dan tadbir urus yang baik.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai KESEDAR Berhad (KPKB) yang mengalu-alukan kehadiran para anggota dan tetamu jemputan. Beliau merakamkan penghargaan kepada semua anggota atas komitmen dan sokongan berterusan terhadap pembangunan koperasi serta berharap KPKB akan terus berkembang sebagai sebuah koperasi yang mampan, berdaya saing dan sentiasa mengutamakan kebajikan anggota.
Seterusnya, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Kelantan, Dr. Akram bin Hasan, dalam ucapannya menekankan kepentingan tadbir urus yang telus, integriti serta pengurusan kewangan yang cekap bagi memastikan sesebuah koperasi terus kukuh dan berdaya tahan. Beliau turut menggesa anggota agar terus menyokong aktiviti koperasi supaya manfaat ekonomi dapat dinikmati secara bersama, sejajar dengan hasrat memperkasakan gerakan koperasi sebagai penyumbang kepada pembangunan negara.
Majlis kemudiannya disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh YBrs. Tuan Haji W. Muhd Rahimi bin Wan Salleh, Pengurus Besar KESEDAR. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada Ahli Lembaga Koperasi dan seluruh anggota atas komitmen yang diberikan dalam memajukan KPKB. Beliau berharap koperasi ini akan terus memperkukuhkan prestasi, memperluaskan peluang perniagaan dan memperkasakan ekonomi anggota melalui tadbir urus yang cekap, inovatif serta berintegriti, selaras dengan agenda Malaysia MADANI dan usaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Mesyuarat Agung Tahunan KPKB kali ke 36 turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada anggota yang hadir. Program tersebut bukan sahaja menceriakan suasana, malah mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta semangat kekitaan dalam kalangan anggota koperasi.
