FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

“Manusia sering kali hanya menyedari betapa berharganya nikmat kesihatan apabila diuji dengan kesakitan. Ketika itu, selera makan hilang, tidur menjadi tidak lena dan ketenangan jiwa turut terganggu,” demikian antara kata-kata peringatan yang disampaikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KESEDAR, Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh ketika meluangkan masa bersama kakitangan sempena Program Latihan Membina Sikap (LMS) bagi bulan April 2025 yang berlangsung hari ini.

Menurut beliau, kesihatan merupakan nikmat yang sangat bernilai dan sering dipandang ringan oleh kebanyakan individu. Justeru, setiap warga kerja KESEDAR diseru agar sentiasa menghargai nikmat sihat dengan menjaga gaya hidup, pemakanan serta kesejahteraan mental dan emosi. Beliau turut mengingatkan bahawa terdapat dua nikmat utama yang sering dilalaikan oleh manusia, iaitu nikmat kesihatan dan masa yang lapang, sedangkan kedua-duanya memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti kehidupan seseorang.

Dalam ucapannya, Puan Hajah Norlidasaidi turut menekankan kepentingan perancangan kewangan yang berhemah, khususnya berkaitan simpanan untuk tujuan kesihatan. Menurut beliau, setiap penjawat perlu mempunyai kesedaran bahawa nikmat sihat hanyalah pinjaman dan tidak diketahui sehingga bila ia akan berterusan. Oleh itu, perancangan kewangan yang baik termasuk menyediakan simpanan khas untuk keperluan perubatan amat penting bagi mengelakkan beban kewangan sekiranya ditimpa musibah atau masalah kesihatan.

“Penjawat awam perlu berdisiplin dalam mengurus kewangan dan mengelakkan keterhutangan yang serius. Dengan adanya simpanan kesihatan, kita dapat menghadapi sebarang kemungkinan tanpa tekanan kewangan yang berlebihan ketika sedang diuji dengan kesakitan,” tambah beliau lagi.

Program LMS kali ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti kesihatan dan kecergasan, antaranya senamrobik serta aktiviti berjalan 1,000 langkah, yang bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan kakitangan KESEDAR. Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja membantu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan, malah turut menyumbang ke arah pembentukan sikap positif, produktif dan seimbang dalam kehidupan seharian warga kerja KESEDAR.

wpChatIcon
wpChatIcon