FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

Majlis Penyerahan Barangan bagi Program Sokongan Perniagaan (PSP) Tahun 2025 telah berlangsung di Dewan Rahmat, Ibu Pejabat KESEDAR pada 27 November 2025. Program ini merupakan salah satu inisiatif KESEDAR dalam memperkasa para usahawan dengan menyediakan peralatan dan barangan sokongan yang dapat meningkatkan kapasiti serta keupayaan operasi perniagaan.

Dalam ucapan aluannya, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf menyatakan bahawa Program Sokongan Perniagaan merupakan antara program utama yang dirangka untuk meningkatkan kapasiti peniaga kecil-kecilan melalui penyediaan peralatan perniagaan yang lebih sistematik dan berkualiti.

Seramai 21 orang penerima daripada pelbagai bidang perniagaan telah menerima bantuan pada tahun ini. Bantuan yang disediakan meliputi peralatan asas, mesin, kelengkapan operasi serta barangan sokongan yang bersesuaian dengan jenis perniagaan masing-masing.

Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohd Syahbuddin Hashim, ADUN Galas. Dalam ucapannya, YB Dato’ menyampaikan penghargaan kepada KESEDAR atas usaha berterusan dalam memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar kerana program seperti ini sangat penting kerana ia bukan sahaja membantu meringankan beban para usahawan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan kecil dan sederhana. YB Dato’ berharap para penerima dapat memanfaatkan bantuan ini sebaik mungkin, meningkatkan produktiviti serta terus berusaha gigih untuk mencapai kejayaan. KESEDAR sentiasa komited dalam menyediakan sokongan bagi memastikan komuniti usahawan di wilayah ini terus berkembang.

YB Dato’ turut menyeru para usahawan agar sentiasa berfikiran kreatif, berdaya saing dan berani meneroka peluang baharu dalam pasaran semasa yang semakin mencabar.

Pengurusan KESEDAR berharap agar bantuan yang disampaikan ini menjadi dorongan kepada para usahawan untuk mengembangkan perniagaan, meningkatkan pendapatan, serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi setempat. Turut hadir Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat Puan Yunaiha Ismail.

wpChatIcon
wpChatIcon