GUA MUSANG, 16 April 2026 – Seramai tujuh(7) orang peserta Program Peningkatan Pendapatan (PPP) di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) menerima peralatan bagi membantu meningkatkan kapasiti dan produktiviti ekonomi masing-masing dalam satu majlis yang berlangsung di Pejabat KESEDAR Dagang Sdn. Bhd.
Program ini merupakan inisiatif di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dilaksanakan melalui KESEDAR bagi memperkasa sosioekonomi masyarakat luar bandar secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Encik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri merangkap Ahli Lembaga Pengarah KESEDAR. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa inisiatif seperti PPP merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa ekonomi rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah di luar bandar.
“Bantuan peralatan ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk menjana pendapatan lebih stabil, malah mampu mengubah taraf hidup keluarga ke arah yang lebih sejahtera,” katanya.
Daripada jumlah penerima, dua(2) orang adalah dari Wilayah Gua Musang, tiga(3) orang dari Bahagian Pertanian, dan seorang dari Wilayah Jeli Tanah Merah. Kesemua mereka dipilih berdasarkan kelayakan serta komitmen dalam mengusahakan aktiviti ekonomi yang berpotensi untuk berkembang.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf; Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat, Puan Yunaiha Ismail; serta Pengurus Wilayah Gua Musang, Puan Rushwahanis Ramli, CEO Dagang En. Mohd Nasaruddin Musa selain wakil-wakil Pusat Tanggungjawab (PTJ) KESEDAR.
Program ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan taraf hidup dan pengupayaan komuniti secara inklusif dan mampan. Diharapkan dengan penyerahan peralatan ini, para peserta PPP akan terus berusaha gigih dalam memajukan perniagaan masing-masing, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat dan kesejahteraan komuniti secara keseluruhan.
