KUALA LUMPUR, 25 Jun 2025 — Seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada golongan belia dan beliawanis di wilayah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) meliputi daerah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah telah menyertai Program Bina Insan Siri 1 Tahun 2025 di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR). Program ini telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari bertempat di Level 11, Continental Hotel, Kuala Lumpur.
Penganjuran Program Bina Insan ini merupakan salah satu inisiatif strategik KESEDAR dalam melahirkan generasi belia yang berdaya saing, berdaya tahan serta memiliki sahsiah dan jati diri yang kukuh. Program ini dirangka khusus bagi membantu golongan belia membangunkan potensi diri secara menyeluruh merangkumi aspek fizikal, mental, emosi dan sosial, selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan negara.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W. Muhd Rahimi Wan Salleh. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pembangunan sahsiah, pembentukan jati diri serta nilai kepimpinan dalam kalangan belia sebagai tunjang utama kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan wilayah. Menurut beliau, belia merupakan aset penting negara dan perlu diperkasa dengan ilmu, kemahiran serta pemikiran yang positif bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
Sepanjang tempoh program, para peserta telah mengikuti pelbagai pengisian bermanfaat termasuk sesi motivasi, perkongsian pengalaman serta lawatan ilmiah ke institusi pengajian tinggi, muzium dan pusat interaktif seperti Petrosains. Aktiviti lawatan ini dijadikan sebagai medium pembelajaran secara tidak formal yang bertujuan membuka minda serta memberi pendedahan kepada suasana pembelajaran dan kerjaya di luar persekitaran biasa peserta.
Antara objektif utama program ini adalah untuk membantu peserta mengenali potensi diri, belajar daripada kegagalan serta membentuk perspektif yang lebih luas dan positif terhadap kehidupan, pendidikan dan kerjaya. Selain itu, peserta turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pakar daripada pelbagai bidang, sekali gus membakar semangat dan motivasi mereka untuk terus memperkayakan ilmu serta membina keyakinan diri ke arah kecemerlangan.
Secara keseluruhannya, Program Bina Insan Siri 1 Tahun 2025 ini telah berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan memberi impak positif kepada pembangunan sahsiah dan pemikiran belia, sekali gus menyokong usaha KESEDAR dalam melahirkan generasi muda yang berkualiti dan berdaya saing.
