FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

Bahagian Pembangunan Masyarakat KESEDAR telah berjaya menganjurkan Program Inisiatif Peningkatan Pendapatan Komuniti B40 KESEDAR (IPP B40) bertempat di Tanjung Demong Beach Resort.

Program selama tiga hari dari 27 hingga 29 Julai ini disertai oleh seramai 88 peserta yang terdiri daripada 29 peserta Wilayah Gua Musang (WGM), 7 peserta Rancangan Kemajuan Tanah (RKT), 26 peserta Wilayah Jeli (WJT) dan 26 peserta Wilayah Kuala Krai (WKK).

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Puan Yunaiha binti Ismail, Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat KESEDAR.

Dalam ucapannya beliau menekankan bahawa program ini merupakan satu inisiatif penting dalam memperkasakan komuniti B40 agar lebih berdaya saing melalui peningkatan ilmu, kemahiran keusahawanan serta penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan perniagaan.

Program ini menampilkan penceramah berpengalaman daripada Pusat TVET Kuala Lipis yang berkongsi mengenai Penjenamaan Produk serta Keusahawanan Digital bagi membantu usahawan memperluaskan pasaran dan meningkatkan daya saing dalam era ekonomi digital.

Selain itu, Puan Azlina binti Ghazali, Ketua Unit Audit Dalam KESEDAR, turut dijemput berkongsi ilmu berkaitan Pengurusan Akaun dan Perniagaan, yang memberi penekanan kepada kepentingan pengurusan kewangan yang sistematik serta tadbir urus perniagaan yang berkesan.

Sementara itu, slot Kerohanian telah disampaikan oleh Ustaz Wan Mohamed Syahir bin Wan Mahmood, Imam Muda Masjid Jamek Ismail Petra, Tanah Merah, yang mengingatkan peserta agar sentiasa mengamalkan nilai integriti, amanah dan keberkatan dalam menjalankan perniagaan.

Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan peserta dalam pengurusan akaun usahawan di samping memperkenalkan penggunaan Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) sebagai satu pendekatan baharu dalam aspek pengurusan perniagaan, pemasaran digital dan peningkatan produktiviti.

Penganjuran Program IPP B40 Tahun 2026 ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan, pemerkasaan ekonomi rakyat, peningkatan ilmu, inovasi serta kesejahteraan komuniti.

Program ini turut menyokong usaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan KESEDAR dalam melahirkan usahawan luar bandar yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan mampu meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga serta komuniti.

wpChatIcon
wpChatIcon