FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

AYER CHANAL, TANAH MERAH – Program Mini Karnival Usahawan KESEDAR (MEKAR) Peringkat Wilayah Jeli/Tanah Merah Tahun 2026 yang berlangsung meriah di Sekolah Kebangsaan Ayer Chanal pada Sabtu, 8 Ogos 2026, program ini berjaya menarik kehadiran kira-kira 2,500 orang pengunjung.

Program MEKAR ini menjadi platform bagi memperkenalkan serta mempromosikan produk dan perkhidmatan usahawan tempatan. Seramai 16 orang usahawan dari sekitar Wilayah Jeli/Tanah Merah menyertai program ini. Selain gerai usahawan, karnival turut diserikan dengan penyertaan enam (6) daripada agensi kerajaan yang mengadakan pameran, iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Unit e-Kasih ICU, Perpustakaan Desa, RISDA serta Pejabat Kesihatan Daerah, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan dan inisiatif yang disediakan oleh agensi kerajaan.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan bagi memeriahkan program antaranya pertandingan mewarna, pertandingan gubahan, servis motosikal secara percuma, fun games serta cabutan bertuah yang mendapat sambutan mengalakkan daripada masyarakat setempat. Manakala pada sebelah malam masyarakat disajikan dengan persembahan kebudayaan dikir barat moden.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dato’ Haji Mohd Adhan bin Kechik, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan merangkap Ketua UMNO Bahagian Jeli. Turut hadir, YBrs. Tuan Haji W. Muhd Rahimi bin Wan Salleh, Pengurus Besar KESEDAR; Yang Berusaha Puan Nor Wahida binti Patuan, Pengerusi Penasihat Kolej Komuniti Jeli merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Jeli; Encik Mokhtar bin Abu Hassan, Penolong PPD Sektor Perancangan, PPD Tanah Merah serta Yang Berusaha Puan Noriah binti Abdul Hamid, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ayer Chanal.

Penganjuran MEKAR ini mencerminkan komitmen berterusan KESEDAR dalam memperkasa komuniti melalui pembangunan keusahawanan, membuka ruang pasaran yang lebih luas kepada usahawan tempatan serta menggalakkan masyarakat menjana pendapatan secara mampan.

Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat, meningkatkan taraf ekonomi komuniti serta membina masyarakat yang berdaya tahan dan berdaya saing.

Kemeriahan program dengan kehadiran ribuan pengunjung membuktikan bahawa platform seperti MEKAR amat penting dalam membantu usahawan tempatan memperkenalkan produk, membina jaringan perniagaan dan mendekatkan produk mereka kepada masyarakat.

wpChatIcon
wpChatIcon