Gua Musang – Program “Sri Kandi Wanita Berinspirasi” telah berlangsung dengan jayanya pada 28 April 2026 (Selasa) bertempat di Denai Hotel, Gua Musang di bawah inisiatif Program Belia dan Komuniti. Seramai 100 orang peserta telah mengambil bahagian dalam program ini yang terdiri daripada 60 orang peserta di bawah seliaan Pejabat Wilayah Gua Musang dan 40 orang peserta di bawah seliaan Bahagian Pembangunan Pertanian. Penyertaan ini jelas mencerminkan komitmen tinggi golongan wanita dalam usaha memperkasa diri serta menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.
Program ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh yang turut menyampaikan amanat berkenaan kepentingan memperkasa peranan wanita dalam pembangunan keluarga dan masyarakat.
Program ini menghimpunkan para peserta dalam usaha memperkukuh jati diri wanita melalui perkongsian ilmu yang bermanfaat serta berimpak tinggi. Antara pengisian utama termasuklah sesi pendedahan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkaitan isu keganasan rumah tangga, pengabaian kanak-kanak serta penderaan, sekali gus membuka minda peserta terhadap kepentingan perlindungan institusi kekeluargaan dan memperkukuh nilai keprihatinan sosial.
Selain itu, pendedahan berkaitan Kesihatan Wanita turut disampaikan oleh Klinik Kesihatan Daerah yang memberi penekanan kepada aspek pencegahan dan perlindungan diri khususnya daripada kanser bagi menjamin kesejahteraan diri dan keluarga.
Program diteruskan dengan slot Transformasi Kefahaman Fiqh Wanita yang mengupas topik berkaitan haid, nifas dan istihadah dalam kehidupan seharian. Perkongsian ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kefahaman peserta dalam aspek ibadah serta pengurusan diri agar lebih teratur dan diyakini.
Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk menimba ilmu, malah turut berperanan sebagai medan perkongsian pengalaman serta sumber inspirasi dalam kalangan peserta. Semoga program ini menjadi pemangkin kepada pembentukan wanita yang berilmu, berkeyakinan tinggi dan berdaya saing dalam mendepani cabaran masa kini.
