KUALA LUMPUR, 7 Julai — Seramai 144 orang ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menyertai Program Watikah Pelantikan dan Perasmian Program Kepimpinan Rancangan bertemakan “Tautan Mahabbah Eratkan Ukhwah” yang berlangsung pada 7 Julai lalu bertempat di The Pearl Kuala Lumpur Hotel. Program ini melibatkan penyertaan 16 orang ahli JKKR dari setiap sembilan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) di daerah Gua Musang.
Penganjuran program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli JKKR serta memperkukuh semangat kepimpinan akar umbi di bawah naungan KESEDAR. Ia juga menjadi platform penting untuk menyatukan persefahaman, meningkatkan keupayaan kepimpinan serta menyelaras peranan dan tanggungjawab JKKR dalam menyokong agenda pembangunan komuniti setempat.
Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W. Muhd Rahimi Wan Salleh dalam ucapannya menegaskan bahawa program ini bukan sekadar majlis penyampaian watikah pelantikan, malah berperanan sebagai medan untuk mengeratkan ukhuwah dan memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan pemimpin akar umbi. Menurut beliau, kejayaan pembangunan di peringkat rancangan sangat bergantung kepada kerjasama dan komitmen JKKR sebagai barisan hadapan yang memahami keperluan dan aspirasi masyarakat setempat.
Beliau turut menekankan keperluan melahirkan pemimpin akar umbi yang berkualiti, berintegriti, amanah dan berdedikasi dalam menyampaikan dasar serta agenda pembangunan KESEDAR kepada masyarakat. Katanya, KESEDAR sentiasa mengiktiraf peranan penting JKKR sebagai “mata dan telinga” agensi di setiap kawasan rancangan, khususnya dalam menyampaikan keperluan setempat, menyuarakan pandangan rakyat serta membantu merealisasikan perancangan pembangunan yang telah digariskan.
“JKKR berperanan sebagai penghubung strategik antara agensi dan komuniti. Melalui platform seperti ini, kita bukan sahaja dapat memperkukuh kemahiran komunikasi dan kepimpinan, malah membuka ruang perbincangan yang lebih membina dan berfokus kepada penyelesaian isu di peringkat akar umbi,” ujar beliau.
Program ini telah dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KESEDAR merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Yang Berhormat Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani. Turut hadir memeriahkan program ialah Pengerusi KESEDAR Perkilangan Sdn. Bhd. (KPSB) yang juga ADUN Galas, Yang Berhormat Mohd Syahbuddin Hashim, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh serta Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab. Manaf.
Secara keseluruhannya, program ini dilihat berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam memperkukuh jaringan kepimpinan JKKR, meningkatkan kefahaman terhadap peranan masing-masing serta mempererat hubungan antara KESEDAR dan komuniti di peringkat rancangan ke arah pembangunan yang lebih inklusif dan berterusan.

KESEDAR Tahun 2025/2026" srcset="https://www.kesedar.gov.my/wp-content/uploads/2026/01/program-watikah-pelantikan-8.jpg 479w, https://www.kesedar.gov.my/wp-content/uploads/2026/01/program-watikah-pelantikan-8-400x284.jpg 480w" sizes="(max-width:479px) 479px, 100vw" class="wp-image-9305" />