GUA MUSANG – Puspanita Cawangan Kecil Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menyertai Program Penyediaan Onde-Onde Terbanyak sempena Ramadan Festival (Ramfest) anjuran Puspanita Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berlangsung dengan penuh meriah dan semangat kerjasama. Program ini telah dilaksanakan secara serentak bersama 10 agensi di bawah KKDW menerusi platform dalam talian, sekali gus memperlihatkan komitmen tinggi warga Puspanita dalam memeriahkan sambutan Ramadan.
Penyertaan Puspanita Cawangan Kecil KESEDAR membuahkan hasil yang membanggakan apabila berjaya menyiapkan sebanyak 2,860 biji onde-onde, sekali gus melepasi sasaran asal yang ditetapkan. Kejayaan ini mencerminkan semangat berpasukan, kecekalan serta keupayaan ahli-ahli Puspanita dalam melaksanakan tugasan yang mencabar dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Seawal jam 8.30 pagi, seramai 30 orang ahli Puspanita KESEDAR telah mula berganding bahu dalam proses penyediaan onde-onde. Tiga variasi kuih tradisi telah dihasilkan iaitu onde-onde pandan, labu dan ubi keledek yang melambangkan kepelbagaian cita rasa serta kreativiti ahli Puspanita. Proses penyediaan berjalan dengan lancar hasil perancangan rapi dan kerjasama erat antara semua yang terlibat.
Secara keseluruhan, program ini berjaya menghasilkan 20,000 biji onde-onde melibatkan kesemua 10 agensi di bawah KKDW dan pencapaian tersebut telah direkodkan secara rasmi dalam Malaysia Book of Records, sekali gus menjadi satu detik bersejarah dan membanggakan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W. Muhd Rahimi Wan Salleh, yang hadir memberikan sokongan moral dan kata-kata semangat kepada ahli-ahli Puspanita yang terlibat. Kehadiran beliau jelas mencerminkan sokongan pihak pengurusan terhadap aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh Puspanita.
Dalam pada itu, Pengerusi Puspanita KESEDAR, Puan Hajah Saida Haji Mat, turut mengadakan sesi pengagihan onde-onde kepada ahli-ahli Puspanita KESEDAR sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan usaha yang telah dicurahkan. Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh, serta Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf.
Program ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli Puspanita, malah berjaya memupuk semangat kerjasama, kesukarelawanan dan kecintaan terhadap warisan kuih tradisional Melayu, khususnya dalam menyambut keberkatan bulan Ramadan.

KESEDAR Sedia Hampir 3,000 Biji Onde-Onde Sempena Ramfest" srcset="https://www.kesedar.gov.my/wp-content/uploads/2025/12/puspanita-kesedar-40.jpg 479w, https://www.kesedar.gov.my/wp-content/uploads/2025/12/puspanita-kesedar-40-400x284.jpg 480w" sizes="(max-width:479px) 479px, 100vw" class="wp-image-7900" />