GUA MUSANG, 22 NOVEMBER 2026 – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) terus menzahirkan komitmen teguhnya dalam memperkukuh pembangunan pendidikan luar bandar menerusi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI KESEDAR Tahun 2026. Majlis penuh bermakna yang berlangsung di Dewan SKYREK, Sekolah Kebangsaan (SK) Jerek, hari ini menjadi bukti kesungguhan agensi berkenaan dalam merapatkan jurang pendidikan serta menyokong kecemerlangan murid di kawasan luar bandar.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh YB Mohd Azmawi Fikri bin Haji Abdul Ghani, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri merangkap Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KESEDAR. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengurus Besar KESEDAR, YBrs. Tuan Haji W Muhd Rahimi bin Wan Salleh; Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Encik Mohd Salaihudin bin Mat Jusoh; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Gua Musang, Puan Rafeah binti Mat Zain; Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KESEDAR, Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh; serta Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KESEDAR, Encik Mohd Fadhly bin Ab Manaf. Kehadiran warga kerja KESEDAR, barisan pendidik, ibu bapa dan komuniti setempat turut menyemarakkan lagi suasana majlis.
Menerusi inisiatif strategik ini, SK Jerek telah menerima peruntukan sebanyak RM100,000.00 bagi tujuan penambahbaikan kemudahan infrastruktur serta pelaksanaan aktiviti pengupayaan akademik dan kokurikulum sekolah. Peruntukan ini disalurkan secara bersasar melalui enam program utama, iaitu penganjuran Karnival STEM, Klinik Pemantapan Subjek Utama dan Kecemerlangan Tahun 6, Program Motivasi, Program Pemulihan Perkasa dan Keceriaan Pusat Sumber Sekolah (PSS), kerja-kerja menaik taraf sistem siar raya (PA Sistem), serta program Pembangunan Sukan. Kesemua inisiatif ini dirangka khusus bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih kondusif, holistik dan berdaya saing untuk para murid.
Kemuncak majlis turut diserikan dengan gimik pelancaran STEM dan perasmian rasmi Sekolah Angkat MADANI KESEDAR. Pada masa yang sama, penganjuran Karnival STEM berjaya mencuri tumpuan apabila memberi peluang keemasan kepada para murid untuk meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara praktikal. Pendekatan aktiviti pembelajaran yang kreatif, interaktif dan menyeronokkan ini diharap mampu memupuk minat mendalam serta mencungkil bakat inovasi dalam kalangan generasi muda sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Secara keseluruhannya, KESEDAR amat yakin bahawa jalinan kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak pengurusan sekolah dan komuniti setempat mampu menjadi pemangkin utama kepada pembangunan pendidikan yang lebih inklusif serta berimpak tinggi. Usaha berterusan sebegini bukan sahaja melahirkan modal insan yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat luar bandar di wilayah Kelantan Selatan pada masa hadapan.

KESEDAR: Pemangkin Kecemerlangan Pendidikan" srcset="https://www.kesedar.gov.my/wp-content/uploads/2026/11/sekolah-angkat-madani-2.jpg 479w, https://www.kesedar.gov.my/wp-content/uploads/2026/11/sekolah-angkat-madani-2-400x284.jpg 480w" sizes="(max-width:479px) 479px, 100vw" class="wp-image-16090" />