FAQ

Hubungi

Aduan

Sitemap

PUTRAJAYA – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) melalui Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) KESEDAR telah membuktikan komitmen jitu mereka dalam memperkasa kesejahteraan warga kerja apabila menyertai Simposium Psikologi dan AKRAB Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2026. Program berprestij ini telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Sri Lestari, Kompleks B1, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Putrajaya.

Pada penganjuran tahun 2026, simposium ini membawa kelainan dengan mengetengahkan tema yang sangat relevan dengan era digitalisasi masa kini iaitu “Why AI? Why Not U: AI Menjawab, Insan Memahami”. Tema ini menekankan keseimbangan di antara penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang efisien dalam pengurusan tugas, dan peri pentingnya sentuhan manusia yang sarat dengan empati serta kefahaman emosi. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KKDW, dan berjaya menghimpunkan penyertaan menyeluruh daripada semua ahli AKRAB pelbagai agensi di bawah payung kementerian tersebut.

Penyertaan aktif AKRAB KESEDAR dalam simposium ini secara langsung mencerminkan dedikasi dan keutamaan KESEDAR dalam memperkasa pembangunan modal insan secara holistik. Ia bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai penjagaan kesihatan psikologi dan mental di tempat kerja, malah merupakan langkah proaktif dalam melahirkan warga kerja yang sentiasa seimbang dari aspek kecerdasan emosi, kestabilan mental dan kecekapan profesionalisme. Kehadiran Pn. Hajah Norlidasaidi Awang Teh, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KESEDAR pada majlis tersebut turut menjadi penyuntik semangat dan bukti sokongan padu pihak pengurusan tertinggi terhadap kelestarian kesihatan mental para pekerja.

Lebih membanggakan, keberadaan AKRAB KESEDAR pada edisi kali ini membuahkan hasil yang sangat lumayan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan AKRAB KESEDAR di atas kejayaan cemerlang merangkul dua anugerah utama, iaitu Anugerah AKRAB Inovatif dan Anugerah Reruai Terbaik. Kemenangan berganda ini jelas membuktikan bahawa pendekatan yang kreatif, inovasi penyampaian maklumat berkesan, serta semangat kerja berpasukan yang ditonjolkan oleh mereka berjaya menarik perhatian juri. Kejayaan ini pastinya menjadi pemangkin semangat buat seluruh warga KESEDAR untuk terus cemerlang dalam menyantuni masyarakat, khususnya di kawasan Kelantan Selatan.

wpChatIcon
wpChatIcon